Ubah persepsi tingkatan enam

Ubah persepsi tingkatan enam

tingkatan enam
WALAU APAPUN keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), akan sentiasa ada peluang untuk menerusi pendidikan termasuk dalam bidang kemahiran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persepsi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sebagai laluan terakhir perlu diubah kerana tingkatan enam sebenarnya peluang untuk pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT).

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Hasnah Toran berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu ada strategi untuk merubah persepsi masyarakat mengenai tingkatan enam.

“Kita perlu mendidik mas­yarakat bahawa bukan hanya ada satu jalan sahaja untuk ke IPT. STPM adalah satu daripadanya tetapi imejnya agak lapuk dan tidak dinamik.

PENJENAMAAN

“Ada beberapa usaha yang dijalankan oleh KPM seperti menubuhkan Kolej Tingkatan Enam yang mana pelajar tidak lagi perlu memakai uniform sekolah. Mungkin boleh buat penjenamaan semula seperti Kolej Pendidikan Tinggi berbanding Kolej Tingkatan Enam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelajar yang memperoleh banyak A tetapi tidak dapat sambung belajar juga merupakan sejenis keciciran.

“Selain daripada matrikulasi, terdapat beberapa pilihan lain seperti program tajaan Mara atau institut pendidikan guru (IPG) yang membolehkan mereka untuk menyambung pengajian kerana tidak semua pelajar cemerlang akan ke matrikulasi.

“Adalah wajar supaya kerajaan mendahulukan meritokrasi golongan B40 dan M40 bagi pilihan lain seperti program sijil kemahiran dan diploma supaya mereka dapat memasuki bidang profesional selepas pengajian tinggi untuk membangunkan negara,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memutuskan semua lepasan SPM yang memperoleh keputusan cemerlang 10A dan ke atas tanpa mengira kaum bakal diberikan ruang melanjutkan pelajaran ke program matrikulasi.

Jelas Anwar, hal ini kerana sebelum ini timbul masalah apabila berlaku pelajar cemerlang tidak mendapat tempat di matrikulasi.

TAMPUNG

Sementara itu, Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad berkata, kerajaan perlu meningkatkan kemasukan ke program matrikulasi bagi menampung jumlah pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa mengira kaum.

Katanya, hal ini mengambil kira keputusan SPM 2023 yang menyaksikan 11,713 calon mendapat semua A sedangkan statistik Pendidikan Tinggi 2021 menunjukkan enrolmen pelajar matrikulasi berjumlah 12,706 pelajar.

“Kita besarkan ‘kek’ (ruang atau pengambilan) itu. Ini tidak bermaksud pelajar cemerlang bukan Melayu mengambil tem­pat pelajar yang mendapat keputusan baik. Jika kita sediakan lebih banyak tempat maka anak Melayu yang mendapat keputusan baik juga boleh terus belajar, malah kita boleh tambah lagi bilangan itu.

“Mungkin kita boleh tambah lagi antara 10 ke 20 peratus pengambilan. Kita akan dapati lebih ramai anak bumiputera dapat belajar di matrikulasi. Pada masa sama, kita juga meraikan anak bukan bumiputera yang dapat keputusan cemerlang untuk belajar di matrikulasi,” katanya.

Selain itu, Anuar, cadangan memperbanyak pengambilan pelajar dengan keputusan baik bagi mengelak isu sesetengah pihak yang mengatakan pengumuman kerajaan akan merebut peluang atau hak orang bumiputera.

“Tidak akan timbul isu apabila kita meningkatkan pengambilan pelajar ke matrikulasi. kita menang dua perkara. Satu, kita dapat memastikan bahawa semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum yang 10A dan ke atas dapat jaminan untuk belajar di matrikulasi.

“Kedua, kita dapat meningkatkan pengambilan lebih ramai lagi anak-anak bumiputera se­perti Sabah, Sarawak, dan Orang Asli sambung belajar di matrikulasi. Kerajaan juga boleh mempertimbang menaik taraf kolej tingkatan enam sebagai pusat matrikulasi cawangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×