KOTA TINGGI: Seramai 58 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tiga lelaki tempatan ditahan dalam satu serbuan di sebuah kilang yang disyaki beroperasi secara haram di Bandar Tenggara, dekat sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, operasi bersepadu pada pukul 3.30 pagi itu melibatkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 Simpang Renggam, Jabatan Kastam dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.
“Dalam serbuan ini kita menahan dua lelaki warga tempatan, iaitu penjaga kilang dan 53 lelaki serta lima wanita warga asing berusia antara 18 hingga 53 tahun yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.
“Selain itu, kita turut berjaya merampas satu plastik lutsinar kecil berisi serbuk ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 0.46 gram daripada seorang lelaki tempatan terbabit dan ujian mendapatinya positif dadah.
“Pihak JAS turut membuka siasatan di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 dan Seksyen 38 (1) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Aktiviti 14(b)(ii), Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam sekeliling) 2015,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Pihaknya kemudian menahan penyelia kilang tersebut semasa hadir di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada pukul 10.30 malam tadi.
Semua suspek kini ditahan reman selamat empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 55E (1), Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) selain Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Kes berkenaan turut disiasat di bawah 34A dan 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. – UTUSAN










