Perkara lalu tidak menjadi kudis – Noraniza Idris

Perkara lalu tidak menjadi kudis – Noraniza Idris

noraniza
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KECEWA sudah semestinya, tapi api harapan penyanyi dan pejuang irama Malaysia, Noraniza Idris, masih menyala untuk konsert Malai Solo yang diidamkannya.

Banyak cabaran untuk melihat hasratnya terlaksana depan mata. Namun Noraniza yang mesra disapa Kak Ani sudah berlapang dada, menganggap semua itu belum rezeki untuknya. 

Penyanyi lagu Dikir Puteri itu mengakui mengambil masa yang lama untuk mengumpul kekuatan selepas konsertnya pada 2022 terpaksa dibatalkan kerana ditipu pihak penganjur. 

Kini dua tahun berlalu, Kak Ani enggan lagi menyendiri, dia tampil dengan konsert Qalam yang berlangsung tiga hari bermula 27 September ini di Panggung Bangsawan, Melaka.

“Saya nak jadikan konsert ini sebagai pencetus. Mungkin selama ini orang tidak tahu saya aktif kerana berada di belakang tabir. Jadi saya kena keluar dahulu demi meyakinkan penaja yang lain. 

“Dengan adanya pihak pengurusan yang menjaga, Insya-Allah semuanya akan lebih teratur. Saya masih berharap Malai Solo dapat direalisasikan kerana itulah impian saya sejak dulu. 

“Saya mahu jadikan ia realiti, cuma belum capai kerana masalah kewangan. Belum lagi penaja bermasalah. Tidak mengapa, mungkin belum rezeki,” katanya yang pernah menerima peruntukan RM200,000 sementara kos keseluruhan konsert mencecah RM1 juta.

Bukan mahu popular, tapi Ratu Etnik Kreatif itu menegaskan segala usaha yang dilakukan adalah demi kelangsungan budaya agar tidak hilang ditelan zaman. 

“Saya akui, ada masanya lambat juga saya nak bangkit daripada kekecewaan lalu. Tapi  saya pastikan ia tidak menjadi kudis. 

“Semua ini adalah perjuangan budaya. Perlu ada yang berani mara untuk irama tradisional. 

“Dahulu kita ada arwah Pak Ngah. Sekarang bila arwah sudah pergi, siapa yang mahu perjuangkan?

“Kalau bukan saya sekalipun, jika ada pendatang baru yang lebih muda mahu lakukan, saya akan beri sokongan sepenuhnya,” katanya lagi. 

Noraniza ditemui pada sesi taklimat bersama media sempena Konsert dalam pertandingan, Qalam Noraniza Idris, baru-baru ini.

MISI TURUN 10 KILOGRAM

Bagi mengembalikan stamina untuk konsert mendatang, Noraniza akur dengan jadual dan permintaan pihak pengurusan, Mind Order mengenai penampilan, kesihatan dan vokalnya.

“Saya alami keresahan ketika di atas pentas. Mungkin sudah terlalu lama berada di belakang tabir. 

“Namun mujurlah pihak pengurusan merangka gerak kerja yang efisien. Mereka lantik jurulatih kecerdasan untuk pantau pemakanan saya. 

“Saya perlu kurangkan berat hingga 10 kilogram,” katanya.

selain kelas vokal, penyanyi itu juga perlu menonjol di laman sosial seperti TikTok.

“Semasa bersiaran langsung, saya ceritakan pengalaman menyertai Anugerah Juara Lagu. Banyak kejadian belakang pentas yang orang tidak tahu. Tidak sangka ramai berminat,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×