Anggota polis diperintah bela diri atas pertuduhan rasuah

Anggota polis diperintah bela diri atas pertuduhan rasuah

MOHD. Ameruddin Yusof (kiri) semasa tiba di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang anggota polis berpangkat sarjan diperintah untuk membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM5,000 bagi membebaskan dua individu yang ditangkap atas kesalahan memiliki ketum, lima tahun lalu.

Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohd. Ameruddin Yusoof, 32, di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 27 dan 30 Oktober depan untuk tertuduh membela diri. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Shukri Mohamed.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Ameruddin  merupakan anggota polis berpangkat sarjan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh didakwa secara rasuah meminta suapan RM5,000 daripada seorang lelaki untuk membebaskan dua individu yang ditangkap atas kesalahan memiliki ketum.

Kesalahan itu dilakukan di Kampung Lembah Semerak, dekat Pasir Puteh kira-kira pukul 1 tengah hari pada 1 April 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, anggota polis itu didakwa menerima suapan RM5,000 daripada lelaki sama untuk membebaskan dua individu yang memiliki ketum di Bandar Baru Pasir Puteh, kira-kira pukul 6.50 petang pada 1 April 2021.

Mohd. Ameruddin didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut jumlah yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 27 Julai 2021 atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan untuk membebaskan dua suspek yang ditangkap atas kesalahan memiliki ketum.

Mohd. Ameruddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd. Noor.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×