ASSEN: Juara dunia dua kali MotoGP, Francesco Bagnaia melengkapkan perlumbaan dengan cemerlang di Grand Prix (GP) Belanda selepas menjuarai perlumbaan, malam tadi.
Gelaran GP Belanda itu sekali gus merapatkan jurangnya bersama pendahulu kejuaraan Jorge Martin hanya 10 mata.
“Saya sangat menikmatinya. Di hujung minggu, semuanya berjalan lancar. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penonton, ia sangat hebat, kami menikmatinya,” kata Bagnaia
Bermula di petak utama, Bagnaia bermula pantas dari pusingan pertama hingga penghujung perlumbaan manakala Martin ‘bermandi peluh’ untuk bangkit daripada penalti tiga petak.
Hal ini kerana, Martin dikenakan hukuman susulan menghadang Raul Fernandez pada pusingan kelayakan dan berjaya menamatkan saingan di carta kedua.
Rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini melengkapkan podium di tempat ketiga sekali gus menyaksikan Ducati mendominasi perlumbaan terbabit.
Untuk rekod, Bagnaia merupakan pelumba pertama memenangi tiga perlumbaan utama di Litar Assen sejak Mick Doohan dari Australia.
Selain itu, beliau turut memecahkan rekod pusingan terpantas ketika aksi kelayakan untuk meraih petak pertama musim ini. – AGENSI










