Tasik semakin kering, JPS henti bekalan air ke sawah

Tasik semakin kering, JPS henti bekalan air ke sawah

KEADAAN Tasik Kolam Bukit Merah yang kering di kawasan Bukit Merah Laketown Resort berikutan musim panas ketika tinjauan di Bagan Serai semalam. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kerian terpaksa menghentikan pengairan untuk pertanian di beberapa kawasan di sini berikutan paras bacaan air di Empangan Bukit Merah di sini menyusut.

Jurutera Daerah JPS Daerah Kerian, Mohd. Fisham Abu Basah berkata, langkah tersebut terpaksa diambil selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Empangan Bukit Merah apabila status semasa empangan itu mencapai paras aras henti bekalan pengairan.

“Bekalan pengairan kepada Rancangan Pengairan Kerian dihentikan kepada semua kompartmen sawah padi mulai pukul 5 petang 28 Jun lalu.

“Bekalan air pengairan ini akan diaktifkan semula sekiranya keadaan dilihat semakin baik,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Menurut Mohd Fisham, bagaimana pun bekalan air mentah kepada loji-loji rawatan air Lembaga Air Perak (LAP) masih diteruskan.

“Dalam tempoh tersebut, pihak JPS Daerah Kerian akan mengambil langkah untuk meningkatkan kembali aras air di empangan dengan membuat takungan.

“Pemakluman permohonan pembenihan awan juga sudah dibuat oleh pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya.

Kata Mohd. Fisham, pesawah perlu menakung air dengan rapi di kawasan masing-masing dalam tempoh Aras Henti Bekalan Pengairan.

“JPS berharap hebahan yang dibuat berhubung perkara ini, para pesawah terlibat bersedia melaksanakan penjimatan air di lapangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×