BAGAN SERAI: Tasik Kolam Bukit Merah di sini yang menjadi sumber utama air untuk kegunaan domestik dan pertanian terutama sawah padi di Kerian serta kegunaan perindustrian di Taiping, semakin kering berikutan cuaca panas.
Tinjauan Utusan Malaysia di jeti nelayan Darat Kampung Selamat di sini mendapati air di Tasik Bukit Merah menyusut sejauh 1.2 kilometer ke tengah tasik dari jeti berkenaan.
Penyusutan air turut menampakkan bongkah dan tunggul kayu balak yang terdapat di dasar tasik kawasan itu.
Sementara itu, tinjauan di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di sini pula mendapati penyusutan air berlaku sejauh 960 meter ke tengah tasik dari tepi tebing resort berkenaan.
Sebelum ini, paras air di Tasik Kolam Bukit Merah kerap surut berikutan cuaca panas namun kali ini penduduk menyifatkan keadaan sekarang paling teruk pernah berlaku.
Berikutan keadaan tasik yang semakin mengering, pengurusan BMLR terpaksa menghentikan semua aktiviti air di resort itu apabila paras bacaan air di tasik itu mencatat penyusutan pada paras bacaan di bawah 6.10 meter.
Pengurus Resort BMLR, M. Danesh Kumar berkata, aktiviti seperti berkayak dan melawat Pulau Orang Utan tidak dapat beroperasi ekoran penyusutan air di tasik tersebut.
Menurutnya, aktiviti yang tidak melibatkan penggunaan Tasik Bukit Merah beroperasi seperti biasa.
“Buat sementara waktu aktiviti air di tasik ini dihentikan sehingga paras air ada peningkatan yang membolehkan aktiviti air beroperasi semula.
“Kerana air surut, pekerja menghantar makanan untuk Orang Utan di pulau yang terletak di tengah tasik menggunakan kayak.
“Setiap tahun kami menghadapi situasi seperti ini dan ini merupakan kali pertama untuk tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Danesh Kumar berkata, mana-mana pihak yang mengambil gambar atau video keadaan tasik itu yang surut diminta menyampaikan maklumat yang tepat. – UTUSAN










