Thanussa teruskan dominasi Malaysia di pentas Remaja Asia

Thanussa teruskan dominasi Malaysia di pentas Remaja Asia

THANUSSA (dua dari kiri) meneruskan penguasaan Malaysia dalam kategori perempuan bawah 19 tahun pada Kejohanan Skuasy Individu Asia 2024 di Islamabad, Pakistan, semalam. - Gambar Ihsan SRAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain remaja negara, U. Thanussa meneruskan dominasi Malaysia selepas merangkul gelaran pada Kejohanan Skuasy Individu Remaja Asia 2024 di Islamabad, Pakistan, semalam.

Thanussa, 18, mengetepikan pemain Jepun, Akari Midorikawa 11-8, 11-7, 11-2 dalam perlawanan akhir kategori perempuan bawah 19 tahun.

Kejayaan yang diraih pemain itu merupakan kali kelima berturut-turut dimenangi wakil Malaysia selepas Chan Yi Wen dan Aira Azman berbuat demikian pada 2018, 2019, 2022 dan 2023 (2020 dan 2021 tiada pertandingan kerana wabak Covid-19).

Secara keseluruhannya, kejayaan Thanussa itu adalah kali yang ke-16 dalam kategori tersebut berjaya dimenangi pemain Malaysia sejak 1991 menerusi Sandra Wu.

Antara nama-nama besar yang pernah menjulang gelaran tersebut ialah bekas juara dunia lapan kali, Datuk Nicol David, bekas bintang No. 5 dunia, Low Wee Wern dan pemain No. 10 dunia, S. Sivasangari.

Selain Thanussa, dua lagi wakil Malaysia, M. Nickhileswar untuk kategori lelaki bawah 17 tahun dan Harleein Tan bagi kategori perempuan bawah 15 tahun turut membenam lawan masing-masing pada final.

Nickhileswar dipaksa bekerja keras sebelum menumbangkan pemain Pakistan, Abdullah Nawaz 9-11, 9-11, 11-10, 11-8, 11-6, manakala, Harleein menumpaskan Lo Pui Chloe dari Hong Kong 11-8, 11-4, 11-6.

Bagaimanapun, dua lagi pemain negara iaitu Harith Danial Jefri dan Raziq Putra Fakhrur Razi sekadar berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada pencabar mereka.

Harith kecundang di tangan pemain muda sedang meningkat naik dari Pakistan, Hamza Khan 5-11, 10-12, 9-11 pada perlawanan akhir lelaki bawah 19 tahun, manakala, Raziq yang beraksi dalam kategori lelaki bawah 15 tahun tewas kepada wakil India, Shiven Agarwal 7-11, 11-8, 5-11, 11-13.

Malaysia turut berada pada kedudukan teratas dalam senarai pingat selepas membolot tiga pingat emas, dua perak dan sembilan gangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×