KUCHING: Jualan tiket bagi acara Rainforest World Music Festival (RWMF) 2024 amat mengkagumkan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Jelas beliau, tiket bagi hari pertama dan esok festival itu yang berlangsung dari 28 hingga 30 Jun ini di Kampung Budaya Sarawak di sini telah habis dijual.
“Penjualan tiket tahun ini sungguh mengkagumkan. Saya sendiri pun tidak sangka.
“Penjualan tiket untuk tahun ini telah melepasi tahun lepas. Sebenarnya untuk hari ini dan esok, tiket sudah habis dijual dan kemungkinan hari ketiga juga akan habis dijual,” dedahnya dalam sidang media bagi hari pertama penganjuran RWMF2024 di Kampung Budaya, Santubong petang hari ini.
Ditanya sama ada artis legenda yang pernah memenangi anugerah Grammy dan Golden Globe, iaitu Kitaro punca penjualan tiket habis, Abdul Karim tidak menafikan.
“Ya atau tidak, dia adalah pemenang anugerah Grammy, dan saya boleh katakan bahawa dia mempunyai pengikut yang ramai di sini.
“Tetapi dia juga membuat persembahan di Singapura, dan di Semenanjung. Walau bagaimanapun, apa yang dapat saya lihat yang datang ke festival tahun ini bukan hanya orang tempatan, malah juga pengunjung dari luar negara termasuk Semenanjung, dan Indonesia,” ujarnya.
Justeru itu, Abdul Karim berkata pihaknya juga tidak akan menafikan untuk pertimbangan menampilkan penghibur dan artis ternama pada tahun depan.
“Untuk tahun depan kita akan mempertimbangkannya. Tetapi satu bahagian yang menarik tentang tahun ini iaitu pemenang anugerah Grammy (Kitaro) nampaknya mempunyai tarikan yang besar.
“Tarikan besar kepada orang ramai, ke arah jualan tiket. Tetapi kita tidak terlalu melihat kepada keuntungan kewangan, kerana satu perkara yang saya sebutkan tadi iaitu tanggungjawab kita dalam mendidik orang ramai, masyarakat, dunia, tentang kepentingan alam sekitar, tentang kepentingan pemeliharaan, pemuliharaan.
“Itu jauh lebih penting bagi Sarawak, kerana dunia milik kita, bumi milik kita. Dalam pada masa sama, apabila kita mempunyai ramai orang yang datang ke sini, lebih mudah untuk mendidik mereka,” tegasnya.










