RWMF2024: Sarawak komited didik masyarakat lestari alam sekitar - Utusan Malaysia

RWMF2024: Sarawak komited didik masyarakat lestari alam sekitar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Penganjuran acara berprestij tahunan yang meraikan budaya dan warisan melalui gubahan muzik indah Rainforest World Music Festival (RWMF) 2024 dilihat sebagai usaha Sarawak mendidik orang ramai, masyarakat, dan dunia tentang kepentingan alam sekitar.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menjelaskan Sarawak sedang menuju ke arah kepentingan dunia pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Seluruh dunia kini sedang menuju ke arah itu. Oleh itu, untuk memperjuangkan ke arah tersebut perlunya penglibatan pemimpin masa depan dalam memberikan fokus advokasi dan inisiatif memulihara alam sekitar.

“Justeru itu, telah diadakan penganjuran Rainforest Youth Summit (RAYS) 2024 melibatkan pemimpin-pemimpin muda berbakat dari seluruh Asia Tenggara mewakili negara masing-masing dalam usaha Sarawak berperanan melahirkan bakat yang berkemahiran, berdaya saing, dan berdaya tahan serta meletakkan mereka dalam sektor dan industri yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bagi hari pertama penganjuran RWMF2024 di Kampung Budaya, Santubong hari ini.

Dalam pada itu Abdul Karim turut menambah tema penganjuran ke-27 RWMF pada tahun ini iaitu ‘evolusi’ adalah bertepatan terhadap satu keperluan untuk generasi muda dan belia hari ini bagi memastikan alam sekitar dan kelestarian dijaga.

“Dengan penganjuran acara seperti ini, kita dapat mengumpul dan membawa orang ramai serta masyarakat umum memahami kepada evolusi penjagaan alam sekitar dan kepentingan kelestarian pada masa depan.

“Malah penganjur RWMF pada tahun ini juga tidak membenarkan penggunaan botol pakai buang sebagai usaha mendidik kepentingan alam sekitar, pemeliharaan, dan pemuliharaan semasa penganjuran acara ini,” tegasnya.

Acara RWMF2024 menampilkan artis legenda yang pernah memenangi anugerah Grammy dan Golden Globe, iaitu Kitaro. Beliau antara yang akan untuk membuat persembahan di festival berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×