PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada April 2024 mencatatkan peningkatan 6.1 peratus tahun ke tahun, sekali gus menunjukkan prospek pertumbuhan ekonomi positif, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan tersebut didorong oleh peningkatan 4.9 peratus dalam sektor pembuatan yang mana meningkat daripada 1.3 peratus pada Mac.
Menurutnya, kenaikan 10.0 peratus dalam sektor perlombongan iaitu meningkat daripada 4.9 peratus pada Mac turut menyumbang kepada kenaikan pertumbuhan IPP.
“Sektor elektrik mengekalkan pertumbuhan stabil pada 7.6 peratus, manakala jualan bagi sektor pembuatan mencapai RM153.2 bilion pada April sekaligus menunjukkan peningkatan 5.7 peratus tahun ke tahun.
“Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan ketara sebanyak 16.9 peratus bagi subsektor kelengkapan pengangkutan dan pembuatan serta kenaikan 12.8 peratus dalam subsektor produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, sektor perdagangan borong dan runcit menunjukkan pertumbuhan positif pada April dengan berkembang 6.6 peratus tahun ke tahun untuk mencapai jualan bulanan berjumlah RM144.9 bilion.
“Subsektor perdagangan runcit yang juga merupakan pendorong utama menunjukkan peningkatan 5.5 peratus bersamaan dengan RM3.3 bilion malah turut mencapai jualan RM63.8 bilion.
“Selain itu, perdagangan borong dan kenderaan bermotor masing-masing meningkat 4.8 peratus iaitu penambahan 2.9 bilion dan 18.1 peratus (RM2.6 bilion),” kata beliau.
Mohd Uzir berkata, meneliti dari segi harga, kadar inflasi negara mencatatkan 1.8 peratus, sekali gus tahap tersebut dikekalkan selama tiga bulan berturut-turut dengan indeks mencapai 132.4 berbanding 130.0 pada tahun sebelumnya.
Beralih kepada sektor luaran, beliau memaklumkan eksport barangan Malaysia pulih pada April dengan berkembang 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM114.7 bilion daripada RM105.2 bilion.
Katanya, sektor import turut meningkat dengan signifikan sebanyak 15.6 peratus kepada RM107.0 bilion berbanding RM92.6 bilion pada April 2023.
“Kesan daripada itu, imbangan dagangan merosot 39.0 peratus tahun ke tahun kepada RM7.7 bilion,” katanya.
Dalam pada itu, pada Mei tahun ini, prestasi perdagangan Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan positif, dengan jumlah perdagangan berkembang10.3 peratus atau RM23.0 bilion kepada RM246.3 bilion berbanding tahun sebelumnya.
“Import tumbuh 13.8 peratus kepada RM118.1 bilion, manakala eksport meningkat 7.3 peratus kepada RM128.2 bilion, menyebabkan lebihan dagangan sebanyak RM10.1 bilion,” katanya.
Mengulas mengenai pasaran buruh Malaysia pada April 2024, beliau berkata, tenaga buruh mencatatkan 17.12 juta orang, menunjukkan peningkatan 1.7 peratus berbanding April 2023.-UTUSAN









