SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang pekerja ladang selepas dia didapati bersalah atas pertuduhan membunuh adik kandungnya di sebuah ladang kelapa sawit di Rantau di sini empat tahun lalu.
Hakim, Datuk Rohani Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap K. Paramasivam, 49, selepas mendengar hujahan dan rayuan mitigasi pihak pembelaan dan hujahan pemberatan pihak pendakwaan.
“Oleh itu, saya memutuskan bahawa tertuduh dijatuhkan hukuman gantung pada masa, tarikh dan tempat yang akan ditetapkan kemudian,” katanya.
Pada 25 Jun lalu, mahkamah sama telah mendapati Paramisivam bersalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh adik kandungnya, K. Tanjong Tuan, 40, di antara pukul 11 pagi hingga 1 petang di Ladang Kelapa Sawit, Linsum Rantau di sini pada 8 Jun 2020.
Terdahulu ketika rayuan meringankan hukuman, peguambela tertuduh, Raftfizi Zainal Abidin memohon hukuman penjara dikenakan terhadap anak guamnya mengambil kira tertuduh yang tidak mempunyai niat atau perancangan untuk membunuh mangsa.
“Tertuduh amat menyesal dalam kes ini, ia kesalahan pertamanya dan jika disemak tiada apa-apa rekod jenayah terdahulu dilakukan tertuduh.
“Memandangkan hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan ini mempunyai budi bicara dan pilihan terbaharu, saya percaya hukuman penjara yang boleh dijatuhkan iaitu selama 30 hingga 40 tahun merupakan tempoh yang lama dan boleh memberikan pengajaran kepada tertuduh,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ala’uddin Baharom dalam hujahannya menegaskan hukuman mati perlu dijatuhkan kepada tertuduh, mengambil kira mangsa merupakan adik kandungnya selain tertuduh mempunyai niat dan perancangan untuk membunuh mangsa.
“Kejadian tidak berlaku di rumah, bukan di tempat tinggal tertuduh atau si mati dan bukan juga di tempat tinggal ahli keluarga sebaliknya di dalam kawasan kebun kelapa sawit, jadi pihak pendakwaan menekankan bahawa satu perancangan telah dibuat oleh tertuduh dengan memanggil si mati untuk ke situ.
“Keterangan doktor forensik juga menunjukkan terdapat 13 kecederaan termasuk 12 kecederaan kelar pada si mati dan kecederan ini terdapat pada bahagian leher, hadapan dan belakang badan, ini menunjukkan satu senjata tajam telah digunakan dan senjata tersebut telah dibawa ke tempat kejadian, ini menunjukkan persediaan telah dilakukan oleh tertuduh,” katanya.
Seramai 21 saksi telah dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula sejak 3 April lalu.
Pada 11 Jun 2020, media melaporkan mayat seorang lelaki yang lengkap berpakaian dengan beberapa kesan kecederaan pada bahagian anggota badan telah ditemukan orang awam di sebuah ladang kelapa sawit di Rantau, di sini.-UTUSAN.










