KANGAR: Kerajaan negeri telah mengarahkan agensi berkaitan seperti Jabatan Perhutanan bagi melakukan kajian berhubung pokok-pokok tua di tepi jalan utama yang mengancam keselamatan orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, pihak berkaitan disaran supaya dapat mengambil perhatian berhubung perkara itu memandangkan terdapat banyak pokok tua di tepi jalan berusia lebih 30 tahun dan berisiko kepada pengguna lalu lintas.
Beliau berkata, tindakan juga turut diambil ke atas pokok-pokok tua yang ditanam di atas tanah persendirian antaranya sekitar kawasan Tambun Tulang dan Simpang Empat, di sini.
“Bagi pokok-pokok atas tanah persendirian ini, kita mengambil pendekatan berjumpa dengan pemilik terlibat supaya mereka dapat mengambil perhatian sewajarnya.
“Kajian mendalam sedang dilakukan oleh agensi terlibat berhubung kesan yang berlaku sekiranya penebangan dibuat khususnya melibatkan jalan-jalan tepi sungai.
“Dalam laporan sebelum ini ada menyatakan kajian tentang pokok-pokok ini masih dalam penelitian sepenuhnya namun kita melihat proses itu sedang berjalan dan diharap tidak timbul lagi isu selepas ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Asrul berkata, situasi berhubung pokok-pokok tua di tepi jalan sekitar negeri ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bencana negeri sekitar dua minggu lalu malah perkara itu turut dibangkitkan dalam mesyuarat Exco baru-baru ini.
Katanya, menerusi pelaksanaan fasa pertama sebelum ini, tindakan menebang dan memangkas pokok-pokok telah dilaksanakan sebagai persediaan bagi menghadapi musim monsun barat daya.
“Berdasarkan rekod sebelum ini, 6,564 pokok telah ditebang dan kita harapkan akan ada penambahan lagi selepas ini,” katanya.
Di samping itu, Asrul berkata, kes pokok tumbang kerap berlaku di negeri ini berikutan terdapat beberapa kawasan dikenalpasti menjadi laluan angin.
Selain itu, beliau berkata, struktur tanah di beberapa kawasan yang tidak kukuh turut menjadi faktor sampingan mendorong kepada berlakunya kejadian pokok tumbang itu.
“Buat masa ini, kerajaan negeri tiada perancangan untuk menanam semula pokok-pokok yang ditebang itu. Kita juga berhasrat agar pokok-pokok yang ditebang itu nanti dapat memberi pulangan hasil kepada kerajaan negeri dan tidak dibuang sebegitu sahaja,” katanya.
Januari lalu, Utusan Malaysia pernah melaporkan selepas kira-kira 30 tahun sejak mula ditanam pada 1992 hingga 1994, pokok-pokok jati di tepi-tepi jalan sekitar negeri ini dipotong secara berperingkat dengan sebanyak 6,564 batang pokok berkenaan dipotong dengan proses penebangan tersebut bermula sejak 2019 melalui lima fasa sehingga 2025.
Melalui fasa pertama penebangan melibatkan 3,295,pokok, fasa kedua dari 2019 hingga 2020 (1,314 pokok), fasa tiga dari 2020 hingga 2022 (1,069 pokok) dan fasa empat dari 2023 hingga 2024 sebanyak 886 pokok manakala fasa lima pula adalah sehingga 2025.-UTUSAN










