KUALA LUMPUR: Penglibatan dalam drama Bawah Payung Awan memberi peluang kepada pelakon, Ben Amir, untuk menyelami kehidupan penduduk setinggan.
Bahkan, aktor berusia 34 tahun itu memaklumkan pembabitannya dalam drama itu berjaya membuka mata tentang permasalahan dihadapi penduduk di kawasan tersebut.
“Lepas habis satu-satu babak, saya akan terus berada dalam rumah di mana penggambaran kami dibuat. Saya cuba cari keselesaan.
“Kalau ada masa terluang, saya cuba berborak dengan pemilik rumah tersebut dan penduduk setempat.
“Cara itu membolehkan saya selami perasaan mereka. Dapatkan penjelasan macam mana bereka bertahan tinggal di kawasan setinggan,” katanya.
Bawah Payung Awan mengisahkan cabaran hidup dilalui tiga sekawan, Widad, Soleiman dan Hanan yang tinggal di kawasan setinggan.
Drama yang ditayangkan di platform Viu itu turut dibintangi Nabila Razali, Nelissa Nizam, Muaz Zabir, Kodi Rasheed, Amyza Aznan dan ramai lagi.
Ben dalam pada itu mengakui watak Soleiman yang dilakonkannya dalam drama tersebut adalah yang paling sukar sepanjang pembabitan dalam dunia lakonan.
“Watak ini memang mencabar. Sebelum ini saya selalu lakonkan karakter orang kaya yang berpenampilan kacak.
“Kali ini berbeza. Kalau mahu dapatkan gambaran tentang penduduk setinggan, inilah dia,” ujarnya.
Sementara itu, Ben tidak bersetuju sekiranya ada yang berpandangan lakonannya dalam drama berkenaan memberi gambaran buruk kepada penduduk setinggan.
Sebaliknya, dia yakin apa yang dipersembahkan adalah realiti sebenar yang dihadapi penduduk kawasan berkenaan.
“Kami cuma tunjukkan cara hidup mereka selain masalah dan konflik yang mereka hadapi.
“Jadi pada saya lakonan kami dalam drama ini tak ada kaitan mahu burukkan penduduk setinggan,” jelasnya.











