Kastam rampas 937 botol zam-zam palsu disimpan di Shah Alam - Utusan Malaysia

Kastam rampas 937 botol zam-zam palsu disimpan di Shah Alam

Air zam-zam
NORLELA Ismail menunjukkan sebahagian daripada air zam-zam dalam botol berisi padu lima liter dirampas oleh JKDM dalam satu serbuan, ketika sidang akhbar dekat Pelabuhan Utara, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sejumlah 937 botol dipercayai mengandungi air zam-zam palsu bernilai RM117,200 dirampas bahagian penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor), pada 21 Mei lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, rampasan tersebut dibuat dekat sebuah gudang di Shah Alam menerusi risikan pasukannya sebelum ini.

“Ketika serbuan, terdapat seorang lelaki warga tempatan berumur 44 tahun menjaga gudang tersebut dan disyaki merupakan wakil pengurus gudang.

“Hasil pemeriksaan yang disaksikan wakil pengurus gudang tersebut, barangan disyaki air zam-zam dan tanpa sebarang permit import yang ditemukan,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Beliau menjelaskan, pengimportan air zam-zam atau air mineral perlu mendapat kebenaran kastam, yang mana pengimport perlu memohon permit daripada agensi pihak berkuasa itu.

Malah jelas Norlela, pengimport perlu mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya mereka mahu menjual air zam-zam.

“Kami sedang menyiasat dari mana pihak tersebut mendapat bekalan air berkenaan. Kalau ikut harga pasaran, sebotol air zam-zam yang berisi padu lima liter dijual pada harga RM120.

“Kami juga akan membawa air ini ke Jabatan Kimia untuk mendapat pengesahan terhadap air zam-zam tersebut,” jelasnya.

Sementara itu dalam kes berasingan, Norlela memberitahu, JKDM merampas 2,816 keping jubin jenis ‘Glazed Porcelain’ yang dianggarkan bernilai RM40,100 di Pelabuhan Utara, pada 4 Jun lalu.

Ujarnya, kesemua jubin ini ditemui dalam sebuah kontena yang dipercayai diimport daripada sebuah negara Asia Utara.

“Jubin itu tidak mempunyai sijil kelulusan untuk mengimport yang mana pengimport perlu mendapat kelulusan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) terdahulu,” tegasnya.

Justeru, katanya lagi kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu jika disabitkan kesalahan, hukuman denda 10 hingga 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM100,000 hingga RM500,000 mengikut mana lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×