[PARLIMEN] RUU Pindaan Akta 50  selesaikan kemelut parallel pathway

[PARLIMEN] RUU Pindaan Akta 50  selesaikan kemelut parallel pathway

Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) yang dijangka dibentangkan akhir minggu ketiga persidangan Dewan Rakyat akan menyelesaikan isu program laluan selari (parallel pathway) dalam bidang kardiotorasik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, RUU yang akan dibahas di akhir minggu keempat di sidang Dewan Rakyat itu akan menyelesaikan kemelut dihadapi berkaitan program Sarjana Perubatan.

Menurut beliau, buat masa ini terdapat 120 program Sarjana Perubatan yang ditawarkan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan manakala  14 bidang kepakaran yang mengendalikan bidang kepakaran parallel pathway.

“Pada masa ini terdapat seramai 6,933 pegawai perubatan yang mendapat tajaan untuk menjalani latihan kepakaran perubatan yang mana 6,142 pegawai perubatan menjalani program perubatan Sarjana Perubatan dan 791 pegawai perubatan menjalani latihan kepakaran parallel pathway.

“Selain  itu, terdapat seramai 2,672 pegawai perubatan yang sedang menjalani latihan kepakaran parallel pathway tanpa tajaan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi soalan Datuk Ahmad Yunus bin Hairi (PN-Kuala Langat) berhubung perbezaan program latihan kepakaran  universiti tempatan dan program latihan kepakaran luar negara (parallel pathway) secara umum dan khusus bagi bidang kardiotorasik dan berapa anggaran kos yang dibelanjakan untuk latihan kepakaran tajaan kerajaan.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, bekas Pengerusi Universiti Teknologi Mara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah mencadangkan wujudkan kerjasama antara Institut Jantung Negara (IJN), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai langkah mengelakkan kerajaan meminda akta tersebut bagi mengiktiraf kursus parallel pathway.

Ibrahim berkata, cadangan meminda Akta Perubatan 1971 bagi mengiktiraf parallel pathway dalam bidang kardiotorasik akan mencalarkan profesionalisme dan kredibiliti institusi perubatan negara.

Ini kerana, program parallel pathway yang dijalankan di Malaysia adalah berbentuk komersial oleh sebuah persatuan dan bukannya institusi pendidikan ataupun kolej perubatan sehingga mencetuskan polemik apabila tidak diiktiraf oleh mana-mana badan perubatan termasuk General Medical Council (GMC) United Kingdom (UK) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah peruntukan yang besar untuk program latihan kepakaran khususnya untuk program Sarjana Perubatan yang dikendalikan IPT tempatan.

“Anggaran kos perbelanjaan bagi setahun untuk penajaan program Sarjana Perubatan adalah RM142.4 juta manakala penajaan bagi bidang kepakaran parallel pathway adalah sejumlah RM10 juta,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×