KOTA TINGGI: Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki bahan berkaitan pengganas bulan lalu.
Tertuduh, Suhaini Sarwan, 46, menjawab faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Hayda Faridzal Abu Hassan.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki artikel-artikel berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS) dan perbuatan pengganas di dalam komputer riba jenama Lenovo Thinkpad di Jalan Baiduri, Taman Daiman Jaya pada pukul 2.20 petang, 30 Mei 2024.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah memiliki lima buku berkaitan dengan kumpulan pengganas IS dan perbuatan pengganas di Felda Lok Heng Barat, pada tarikh dan waktu yang sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa di bawah perenggan 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 130JB (1) kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda dan mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu hendaklah dirampas.
Hayda Faridzal menetapkan 29 Julai depan bagi sebutan keputusan permohonan pemindahan perbicaraan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Suhaini pada Selasa lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru bersama dua individu lain atas lima pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas IS bulan lalu. – UTUSAN










