SHAH ALAM: Malang menimpa seorang wanita apabila terseret selepas diragut dua penjenayah yang berpura-pura mahu membantunya di tepi jalan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di sini, semalam.
Kejadian itu berlaku ketika mangsa berusia 58 tahun mengalami kerosakan keretanya di susur keluar arah Kota Kemuning, kira-kira pukul 7 pagi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati wanita itu kemudian dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua lelaki tempatan berusia 30-an.
Menurutnya, suspek yang berhenti bersebelahan kereta itu kemudian berpura-pura bertanyakan sesuatu dan menawarkan diri untuk membantu mangsa.
“Namun, salah seorang suspek tiba-tiba bertindak mengambil dompet yang berada dalam beg silang dipegang mangsa. Mangsa kemudian menangkap tangan suspek yang membonceng motosikal namun dia terseret di atas jalan hingga cedera,” katanya hari ini.
Jelasnya, kejadian itu dirakam seorang pengguna jalan menerusi kamera papan pemuka pada kenderaannya dan mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam.
“Wanita itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kaki sebelah kiri. Selain itu, mangsa kerugian dokumen pengenalan diri, kad bank dan wang tunai RM500,” ujarnya.
Tambah Mohd. Iqbal, hasil maklumat membawa kepada penahanan dua suspek bersama barangan milik mangsa di sekitar Klang antara pukul 1.30 hingga 3 pagi tadi.
“Semakan mendapati mereka yang bekerja sebagai pencuci kereta dan pekerja kedai makan memiliki rekod jenayah lampau. Saringan air kencing mereka turut didapati positif dadah dan direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Zulkifli Mohamad di talian 01116958529 atau balai polis berdekatan. – UTUSAN










