Kempen hambar, peratusan mengundi sukar lepasi 70 peratus

Kempen hambar, peratusan mengundi sukar lepasi 70 peratus

JooHARI Ariffin (kanan) bertemu dengan beberapa penduduk ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peratusan keluar mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Jun depan dijangka sukar melepasi 70 peratus.

Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar berkata, pihaknya mengunjurkan kadar peratusan membuang undi di DUN berkenaan adalah sekitar 60 peratus hingga 65 peratus.

Beliau berkata, rentak kempen yang perlahan dan suram sama ada membabitkan isu nasional mahupun isu tempatan dilihat sebagai faktor.

RUTIN

“Malah, situasi di kawasan itu tidak begitu meriah dan panas. Ini boleh dilihat apabila pengundi menjalani rutin harian seperti biasa seolah-olah tiada pilihan raya di kawasan ini.

“Bahan kempen juga tidak begitu banyak seperti mana Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas. Jadual kempen fizikal calon juga berjalan dalam suasana kecil-kecilan dan hambar. Tidak ada ceramah besar yang menarik penonton pengundi tempatan untuk hadir,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail.

Mengulas lanjut, Hisommudin berkata, peratusan lebih rendah berbanding PRN tahun lalu dijangka menjadi faktor calon PN selaku penyandang sukar untuk mempertahankan kemenangan.

Katanya, ini kerana dengan demografi pengundi Melayu sekitar 60 peratus, penurunan peratus keluar mengundi sudah pasti mempengaruhi undi Melayu.

KELEBIHAN

“PH akan mendapat kelebihan secara tidak langsung jika kadar peratusan keluar mengundi berada di aras berkenaan. Dengan berbekalkan sokongan undi bukan Melayu dan pengundi Me­layu pro-PH dan UMNO, calon PH sedikit di hadapan.

“Keupayaan calon akan teruji dalam situasi ini kerana kekuatan parti agak seimbang. Melihat se­minggu berjalan, penerimaan calon PH lebih baik sedikit kerana pengaruh beliau sebagai guru dahulu ada pengaruh tersendiri.

“PN pula terpaksa bekerja keras untuk mengekalkan kemenangan di lima Pusat Daerah Mengundi (PDM) daripada lapan PDM dahulu agar tidak jatuh kepada PH. Satu pilihan yang ada ialah memastikan segmen pengundi yang menyokong mereka keluar mengundi pada 6 Jun nanti,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, peratusan keluar mengundi PRK Sungai Bakap dijangka tidak akan mencecah 70 peratus.

Katanya, perkara itu dijangka boleh berlaku biarpun hari pengundian jatuh menjelang cuti sambutan Awal Muharram.

“Semua pilihan raya kecil pe­ratusannya rendah dan jangkaan itu akan berlaku sekali lagi.

“Musim cuti panjang (tiga hari) Awal Muharram mungkin juga akan membawa pengundi luar balik mengundi dan akan meningkatkan peratusan, tetapi menjangkakan tidak akan menyebabkan (peratusan) mencecah 70  peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×