Pencen: Permohonan pesara didengar 2 Okt.

Pencen: Permohonan pesara didengar 2 Okt.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan bekas penjawat awam di Kementerian Luar, Aminah Ahmad untuk memaksa kerajaan menyegerakan pelarasan dan membayar tunggakan pencen akan didengar pada 2 Oktober ini.

Menurut peguam Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu yang mewakili wanita itu, mahkamah menetapkan tarikh tersebut pada pengurusan kes terbabit di sini hari ini.

“Mahkamah turut mengarahkan responden dalam kes ini untuk memfailkan afidavit jawapan sebelum atau pada 10 Julai ini dan plaintif (Aminah) untuk memfailkan afidavit balasan sebelum atau pada 31 Julai ini.

“Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes lanjutan pada 6 Ogos ini,” katanya ketika dihubungi media.

Pada 12 Januari lalu, Aminah memfailkan permohonan semakan kehakiman itu dengan menamakan Kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dinamakan sebagai responden.

Permohonan itu difailkan enam bulan selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pelarasan pencen tahunan sebanyak dua peratus secara `flat rate’ sejak Januari 2013 telah memberikan manfaat yang kurang kepada pesara kakitangan awam.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred tersebut.

Menurut permohonan semakan kehakiman tersebut, Aminah memohon perintah mandamus (memaksa) terhadap kedua-dua responden untuk menyegerakan penyelarasan pencen kepada amaun kelayakan pencen mengikut formula yang terkandung dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Penyelarasan Pencen 1980.

Aminah turut memohon agar tunggakan pencen itu dibayar kepada semua pesara dalam tempoh 14 hari atau dalam tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah. Turut dimohon ialah kos atau relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 13 Januari 2022, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 adalah terbatal dan tidak sah.

Mahkamah Rayuan memutuskan demikian atas alasan pindaan tersebut telah melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, keadaan semasa sebelum pindaan Seksyen 3 Akta Pelarasan Pencen 1980 akan terus diguna pakai.

Pada 27 Jun 2023, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×