Bekas calon Bebas DUN Sikamat didakwa palsukan borang JPPH - Utusan Malaysia

Bekas calon Bebas DUN Sikamat didakwa palsukan borang JPPH

MOHAMMED Hafiz Baharuddin (kanan) didakwa Bersama isterinya, didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan melakukan pemalsuan pada enam borang Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi tujuan menipu pada tahun 2019.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bekas calon bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 di Negeri Sembilan, Mohammed Hafiz Baharuddin dan isterinya didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan melakukan pemalsuan pada enam borang Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi tujuan menipu pada 2019.

Mohammed Hafiz, 48, yang juga dikenali  sebagai Tok Merah bersama isterinya Hazlin Suraya Halim, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu dengan niat bersama sebagai pengarah sebuah syarikat telah melakukan sesuatu pemalsuan kepada enam borang JPPH/T/11/A dengan memasukkan penyataan palsu pada borang tersebut dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Kesalahan itu dilakukan di JPPH Seremban di antara 17 September 2019 hingga 3 Julai 2020.

Sehubungan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada setiap tertuduh dengan syarat tambahan.

Tok Merah yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan dan memaklumkan tiada niat untuk menipu selain meminta tempoh dua bulan untuk melantik peguam.

“Sebagai pengarah syarikat kami tiada niat menipu, saya ada staf-staf tidak tahu siapa (yang buat), tetapi saya ke depan (mahkamah) hari ini.

“Saya baru dimaklumkan tentang kes ini Sabtu lalu dan minta tempoh dua bulan untuk mencari peguam,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan suami isteri itu diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Selain itu, kedua-dua tertuduh perlu mematuhi syarat tambahan dengan melapor diri di Pejabat SPRM Seremban setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 Julai depan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×