Inspektor Sheila kekal dibicara

Inspektor Sheila kekal dibicara atas tiga pertuduhan

Sheila Sharon Steven Kumar hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam bagi rayuan kes berkaitan pertuduhan mengugut, menghina fizikal orang awam dan mengaibkan anggota polis. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Ra­yuan semalam memutuskan seorang pegawai polis wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’, kekal dibicarakan atas tiga pertuduhan iaitu mengugut seorang wanita, menghina fizikal seorang lelaki dan meng­aibkan anggota polis.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali membuat perintah itu selepas membatalkan tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret Selayang yang didaftarkan secara bertindih dengan tiga pertuduhan sama yang dikemukakan sebelum itu.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azizul Azmi Adnan sebulat suara memba­talkan ketiga-tiga pertuduhan bertindan itu bagi mengekalkan integriti pertuduhan yang sedang dihadapinya.

“Mahkamah ini menggunakan kuasa sedia ada dan membuat perintah untuk memba­talkan tiga pertuduhan yang didaftarkan secara berganda. Pihak-pihak boleh meneruskan (prosiding) dengan pertuduhan sedia ada di Mahkamah Majistret,’’ ujar Hakim Che Mohd. Ruzima.

Sementara tu, peguam M. Manoharan yang mewakili wa­nita itu atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 35, memberitahu media, tarikh se­butan ditetapkan di Mahkamah Majistret Selayang pada Khamis ini.

Ketika mengumumkan keputusan tersebut, Hakim Che Mohd. Ruzima berkata, jelas terdapat pertuduhan sama yang dikemukakan secara berganda dan kesilapan itu dilakukan di peringkat pendaftaran.

Ujar beliau, pihak pendakwaan yang menyedari kesilapan itu memohon mahkamah membatalkan pertuduhan berganda tersebut dan dibenarkan oleh mahkamah yang kemudian memerintahkan agar Sheila dilepas tanpa dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan.

Hakim Che Ruzima selanjutnya menyatakan, apa yang berlaku selepas itu menyebabkan pihak peguam mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi (Shah Alam) manakala pihak pendakwaan memfailkan permohonan semakan.

Ujarnya, tindakan itu diambil bagi mendapatkan perintah sama ada tertuduh perlu dilepaskan tanpa dibebaskan atau dibebaskan terus daripada ketiga-tiga pertuduhan.

“Bagi memperbetul keadaan, kami di peringkat rayuan menjalankan kuasa sedia ada untuk membuat perintah supaya pertuduhan berganda yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan di Mahkamah Majistret, dibatalkan.

“Kami membenarkan sebahagian rayuan kedua-dua pihak selaras dengan keputusan kami untuk membatalkan pertuduhan berganda tersebut,” ujar Hakim Che Mohd. Ruzima.

Kedua-dua pihak merayu dua keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun lalu yang mengetepikan perintah Mahkamah Majistret Selayang melepas tanpa membebaskan Sheila daripada ketiga-tiga pertuduhan itu. Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir berhujah bagi pihak pendakwaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×