Tujuh lokasi bebas asap rokok baharu diwartakan di Terengganu

Tujuh lokasi bebas asap rokok baharu diwartakan di Terengganu

PEGAWAI Kesihatan mengeluarkan notis kesalahan kepada perokok di kawasan larangan merokok dalam Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam di Medan Selera Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengenal pasti tujuh lokasi baharu yang bakal digazetkan sebagai kawasan ‘Terengganu Bebas Asap Rokok’ (TBAR) di negeri itu menjelang akhir tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Dr. Ka­semani Embong berkata, ketika ini Terengganu mempunyai satu zon TBAR yang diwartakan pada 2018 iaitu kawasan tumpuan pelancong di Batu Buruk, di sini.

Menurutnya, apabila digazetkan kelak, Terengganu akan memiliki lapan zon TBAR di seluruh negeri bertujuan meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup rakyat Terengganu daripada kesan perokok pasif melalui persekitaran yang bebas asap.

“Kawasan yang dikenal pasti di Kemaman ialah Taman Bandar Chukai, Dungun (Arena Merdeka), Marang (Pantai Pulau Kekabu) dan Hulu Terengganu (Pasar Awam Kuala Berang).

“Selain itu, di Kuala Nerus ialah Pesisir Pantai Teluk Ketapang, di Marang pula Kawasan Jeti Pelancongan Merang manakala di Besut ialah kawasan Kota Putera Square,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Operasi Cakna Undang-Undang

Kesihatan Awam Siri 3/2024 di Pantai Batu Buruk di sini, semalam.

Tambahnya, proses pewar­taan itu mengambil masa yang agak lama kerana memerlukan libat urus pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan pemegang taruh yang lain.

Mengulas lanjut, Kasemani berkata, sejak 2018, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah mengeluarkan notis sebanyak 7,800 pelbagai kesalahan me­rokok di TBAR Batu Buruk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×