GAZA: Sayap tentera Hamas, Briged al-Qassam mendedahkan penggunaan peluru berpandu China, dikenali sebagai ‘Red Arrow’ (Panah Merah) untuk menyasarkan kenderaan tentera Israel.
Pada Isnin, Briged al-Qassam mengeluarkan satu rakaman yang menunjukkan kenderaan kejuruteraan OVIK terkena peluru berpandu Red Arrow di kawasan Tal Zu’rob, di barat Rafah, selatan Gaza.
Pendedahan itu dianggap perkembangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak bermulanya perang Israel ke atas Gaza.
Red Arrow ialah peluru berpandu anti-kereta kebal generasi kedua, yang menggunakan sistem panduan optik wayar.
Ia mengandungi peluru anti-perisai yang terdiri daripada kepala peledak, propelan roket pepejal dan unit kawalan yang disambungkan ke platform pelancaran dengan wayar untuk panduan visual kepada sasaran.
Peluru berpandu ini mempunyai julat ketepatan yang tinggi antara tiga hingga empat kilometer dan merupakan komponen penting Tentera Pembebasan Rakyat China sejak akhir 1980-an.
Dihasilkan pada tahun 1980, peluru berpandu ini digunakan dalam Perang Bosnia dan Herzegovina serta beberapa konflik yang berlaku selepas revolusi Syria.
Dengan berat 25 kilogram (kg), peluru berpandu ini boleh dilancarkan dari darat, kenderaan tempur atau helikopter serangan.
Laporan Sputnik pada 2021 menekankan industri ketenteraan China membangunkan beberapa sistem peluru berpandu anti-kereta kebal mudah alih generasi ketiga, termasuk yang setanding dengan American FGM-148 Javelin.
Pakar ketenteraan, Kolonel Hatem Al-Falahi memberitahu Al Jazeera, peluru berpandu ‘Red Arrow’ yang diperkenalkan baru-baru ini, mewakili peningkatan yang signifikan untuk penentangan, membolehkan mereka menyerang kenderaan dan unit perisai dari jarak sehingga empat kilometer.
Dalam analisisnya mengenai situasi ketenteraan di Gaza, Al-Falahi menekankan keupayaan peluru berpandu ini untuk menyasarkan kenderaan dan perisai secara berkesan, menunjukkan pemilikan senjata canggih yang bertujuan menyasarkan unit tentera dari jarak jauh.
Al-Falahi merumuskan operasi itu bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan dakwaan pemimpin tentera Zionis mengenai kemenangan yang hampir tercapai terhadap Briged al-Qassam.- AGENSI











