Netanyahu enggan tamat perang Gaza meski gencatan senjata

Netanyahu enggan tamatkan perang di Gaza, tolak gencatan senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa dirinya terbuka dengan perjanjian ‘separa’ yang akan memudahkan pemulangan beberapa tebusan perang yang masih ditahan di Gaza, walaupun tidak semua.

Bagaimanapun, Netanyahu tetap bertegas tidak akan bersetuju dengan sebarang perjanjian yang menamatkan perang Israel ke atas Gaza, walaupun sebelum ini Amerika Syarikat (AS) mendakwa cadangan itu akan menjadi laluan untuk menghentikan serangan.

“Matlamatnya adalah untuk mengembalikan mereka yang diculik dan menghapuskan Hamas di Gaza,” katanya dalam temu bual dengan saluran media Israel, Channel 14 pada Ahad.

FASA SENGIT BERAKHIR

Bulan lalu, Presiden AS, Joe Biden mengumumkan cadangan gencatan senjata yang akan menyaksikan jeda selama enam minggu dalam pertempuran serta pembebasan beberapa tebusan Israel di Gaza dan tahanan Palestin di penjara Israel.

Pertukaran ini kemudiannya akan membolehkan rundingan untuk gencatan senjata kekal.

Walaupun Washington menegaskan bahawa Israel mencadangkan rancangan itu, AS seolah-olah hanya ‘bercakap kosong’ apabila Tel Aviv termasuk Netanyahu sebaliknya berikrar untuk meneruskan pertempuran sehingga Hamas dihapuskan, dan secara terbuka enggan menyokong sepenuhnya usul tersebut.

Dalam temu bual itu, Netanyahu juga mendakwa, serangan ketenteraan Israel yang ‘menang’ di bandar Rafah, hampir berakhir.

“Fasa sengit pertempuran menentang Hamas hampir berakhir. Ia tidak bermakna bahawa perang akan berakhir, tetapi perang dalam fasa sengit akan berakhir di Rafah,” katanya.

PENTADBIRAN AWAM

Dalam wawancara pertamanya dengan saluran berita Israel sejak perang Gaza bermula, Netanyahu mengulangi pendirian menolak idea untuk Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang berpangkalan di Tebing Barat menggantikan Hamas bagi mentadbir Gaza.

“Kami juga mahu mewujudkan pentadbiran awam, jika boleh dengan rakyat Palestin tempatan dan mungkin dengan sokongan luar dari negara-negara rantau, untuk menguruskan bekalan kemanusiaan dan kemudiannya hal ehwal awam di Gaza.

“Akhirnya, terdapat dua perkara yang perlu berlaku, kita memerlukan demilitarisasi berterusan oleh (tentera Israel) dan penubuhan pentadbiran awam,” katanya.

Gaza terus dihimpit perang lebih lapan bulan sejak serangan pejuang Hamas ke atas Israel yang menyebabkan 1,139 kematian dan 251 yang lain diambil sebagai tebusan.

Sejak itu, serangan tentera Israel ke atas Gaza membunuh sekurang-kurangnya 37,598 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

MARA KE LUBNAN

Menurut Netanyahu, tentera Israel akan dikerahkan ke sempadan utara dengan Lubnan, yang didakwanya untuk ‘tujuan pertahanan’.

“Selepas fasa sengit selesai, terdapat kemungkinan untuk kami memindahkan sebahagian daripada pasukan ke utara. Dan ia akan dilakukan.

“Pertama sekali untuk tujuan pertahanan dan kedua bagi membawa penduduk kami (yang dipindahkan) pulang.

“Jika boleh kita lakukan ini secara diplomatik. Jika tidak, kami akan lakukan dengan cara lain, asalkan kita bawa pulang penduduk,” kata Netanyahu.

Puluhan ribu orang awam kehilangan tempat tinggal dari utara Israel dan selatan Lubnan, yang menyaksikan pertempuran hampir setiap hari antara tentera Zionis dan pejuang Hezbollah sejak perang Gaza bermula.

Kebelakangan ini, rakyat Israel secara konsisten berhimpun menentang Netanyahu dan kerajaannya, dan menuntut pilihan raya awal serta perjanjian untuk mengembalikan tebusan perang.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×