PETALING JAYA: Penglibatan Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock dalam syarikat milik negara didakwa tidak selari dan bercanggah dengan pendirian rasmi Kerajaan Persekutuan dan rakyat.
Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, ini kerana kerajaan dan rakyat membantah tindakan kejam rejim Zionis terhadap Palestin sejak beberapa bulan lepas.
Katanya, perkara itu apatah lagi pembantaian terhadap rakyat Palestin masih berlangsung ketika ini.
“Selain itu, tindakan membenarkan satu firma pelaburan antarabangsa yang sangat menyokong Israel seperti Blackrock ini untuk mula bertapak di negara kita adalah satu langkah yang kurang cermat.
“Tindakan ini mungkin akan membuka peluang kepada firma pelaburan antarabangsa lain yang juga penyokong Israel untuk meneroka pasaran di Malaysia dan seterusnya mendedahkan negara kita kepada potensi ancaman kepada kestabilan ekonomi negara kita memandangkan negara kita adalah penyokong Palestin sejak dahulu” katanya dalam kenyataan.
GIP yang dimiliki BlackRock dilaporkan berpotensi memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersama dana pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Mengulas lanjut, Muhammad Ismi berkata, kerajaan dicadang membincangkan semula isu itu dengan teliti di peringkat mesyuarat Kabinet, mengambil kira sensitiviti bukan sahaja rakyat Malaysia, namun penganut agama Islam di seluruh dunia.
“Saya juga berpendapat bahawa masih terdapat ratusan firma pelaburan antarabangsa lain yang boleh diberi peluang untuk memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB selain Blackrock.
“Saya menyeru agar Kerajaan Persekutuan konsisten dan tegas dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin termasuk dari segi memastikan negara kita tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak yang hubungan mesra dengan Israel,” katanya. – UTUSAN










