KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menangguhkan pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) ekoran isu penjualan saham saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP).
Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin berkata, isu pembubaran MAVCOM seharusnya diletakkan di bawah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi meneliti perkara tersebut secara lebih mendalam.
Kata beliau, ia bagi memastikan laporan penuh mengenai kewajaran pembubaran suruhanjaya tersebut dapat dilakukan dan membuka ruang untuk pembahasan yang lebih tuntas.
“Kita bukan menolak mentah-mentah, kita mintak ia ditangguhkan seketika dan kalau tidak ada keperluan yang mendesak kenapa perlu tergesa-gesa di dalam membuat keputusan ini? Kami tidak bersetuju dengan pembubaran MAVCOM kerana ia perlu perincian mendalam.
“Khususnya dalam keadaan kita semua dikejutkan dengan kemungkinan penjualan saham MAHB kepada GIP yang dikuasai sepenuhnya oleh BlackRock, Inc. (BlackRock),” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, MAVCOM akan diserap masuk ke Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi mengurangkan karenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan penerbangan terutam dalam perkhidmatan pelesenan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook semasa membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat berkata, industri penerbangan tidak lagi memerlukan dua badan bagi mengawal selia penerbangan awam negara.
Menurut beliau, mekanisme tunggal tersebut juga diguna pakai di kebanyakan negara yang mengendali sektor pengangkutan udara utama dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Singapura dan Republik Rakyat China.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, RUU tersebut sebelum ini dibuat oleh UMNO dalam pemerintahan sebelum ini dan ditentang oleh pemimpin-pemimpin DAP.
“DAP menentang kerana tidak mahu kuasa Menteri yang berlebihan dalam membuat sesuatu keputusan tetapi hari ini parti itu pula yang meminta supaya ini dibubarkan dan diberi balik kuasa kepada kementerian,” katanya.
Tegas beliau, pemimpin-pemimpin UMNO perlu mempunyai maruah dan menentang pembubaran MAVCOM.
“Inilah masa untuk semua orang UMNO di semua peringkat, di Sungai Bakap. Sokong Perikatan Nasional (PN) untuk mengurus tadbir negara ini dengan lebih baik,” ujarnya. – UTUSAN









