KUALA LUMPUR: Sebanyak 506 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di seluruh negara didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kesemua taska berkenaan yang dikesan sehingga 31 Mei, kini berada di bawah tindakan JKM.
Menurut beliau, pihaknya menggunakan pendekatan yang pelbagai termasuk notis peringatan serta tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) iaitu lak, kompaun serta pendakwaan.
“Berdasarkan keputusan terhadap kertas siasatan yang dibuka dan selesai dilengkapkan, sebanyak lapan taska telah dikenakan tindakan Lak, 17 di kompaun dan dua didakwa di mahkamah antara tahun 2020 hingga Mac 2024,” katanya pada sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Nancy menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang meminta beliau menyatakan statistik bilangan taska yang dikesan tidak berdaftar dengan JKM dan sejauh manakah tindakan penguatkuasaan diambil.
Dalam pada itu, Nancy berkata, terdapat sesetengah taska menepati standard minimum pengoperasian seperti ditetapkan oleh JKM tetapi tidak berdaftar kerana pelbagai faktor.
“Bagi taska yang berdepan dengan situasi sebegini, kita mengambil pendekatan untuk membantu mereka dengan memberi khidmat nasihat serta melaksanakan inisiatif memudahcarakan proses mereka memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh agensi-agensi teknikal iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kesihatan serta Pihak Berkuasa Tempatan.
“Perkara ini dilakukan melalui pengaktifan One Stop Centre (OSC) di peringkat negeri dan daerah. Antara September 2023 hingga 31 Mei 2024, sebanyak 189 taska telah berjaya dibantu sehingga lulus pendaftaran,” jelasnya.
Tambahnya, ibu bapa dan orang awam boleh mendapatkan maklumat taska berdaftar dan senarainya melalui laman web JKM. – UTUSAN










