MELAKA: Seorang deejay kelab malam didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menghalang tugas polis ketika sekatan jalan raya.
Bagaimanapun, tertuduh, Ngo Wei Kian, 26, menafikan tuduhan itu dan mendakwa dirinya dipukul oleh empat anggota polis.
Tertuduh membuat pengakuan itu melalui peguamnya, Cassian Anthony, Kent Tan Chow Teng dan Francis Augustine dalam rayuan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menghalang tugas polis daripada menjalankan kewajipan sebagai penjawat awam yang sah di sisi undang-undang dengan memecut kereta dinaiki untuk melarikan diri setelah diarahkan berhenti.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 1.20 pagi di Tengkera dalam daerah Melaka Tengah pada 21 Jun 2024.
Mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar mencadangkan jaminan RM6,000 manakala peguam mengemukakan beberapa faktor penafian untuk direkodkan mahkamah.
Menurut Cassian, sebelum kejadian tertuduh telah menaiki kereta bersama abangnya, kemudian ditahan dalam sekatan jalan raya dan satu saman dikeluarkan kepada pemandu iaitu abangnya.
“Tertuduh telah keluar daripada tempat duduk penumpang untuk bertanya saman yang dikenakan terhadap abangnya, namun mendakwa dia telah ditolak oleh anggota polis sebelum dipukul empat daripadanya menggunakan kaki sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.
“Kecederaan dialami tertuduh juga boleh dilihat pada hari ini dan dia telah direman selama empat hari tanpa dibenarkan berjumpa dengan keluarga,” hujah peguam.
Tambah Cassian, mengikut pertuduhan tertuduh didakwa telah memecut kenderaan sedangkan ketika kejadian dia hanyalah penumpang.
Hujahnya lagi, anak guamnya juga akan membuat laporan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat dan memohon jaminan rendah diberikan mahkamah.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Julai ini untuk serahan dokuman serta sebutan semula kes. – UTUSAN










