GEORGE TOWN : Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang lelaki yang berdepan tuduhan membunuh ibunya untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, M.Darrshini agar tertuduh menjalani pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.
Terdahulu, tertuduh, Soon Yong Aun, 40, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mengaku faham pertuduhan ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut pertuduhan, pada 15 Jun lalu, kira-kira pukul 5.47 petang, tertuduh didakwa telah membunuh Chua Ah Ting, 67, di sebuah rumah di Taman Alor Vista, Lebuh Relau, di sini.
Pertuduhan membunuh itu yang dibaca mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit dengan kesalahan.
Ketika prosiding dijalankan, Darrshini memohon kepada mahkamah supaya tertuduh tidak dibenarkan untuk diikat jamin selain dirujuk ke Hospital Bahagia mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.
“Dalam siasatan pendakwaan, tertuduh mempunyai kad merah iaitu kad ubatan terkawal yang merujuk kepada sakit mental,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia untuk perhatian doktor selama sebulan mulai 26 Jun dan kes ditangguh sehingga 24 Julai depan untuk laporan perubatan.
Pada 15 Jun lalu, media melaporkan, seorang wanita warga emas maut dipercayai dibunuh oleh anak bongsunya dengan menggunakan gunting di sebuah pangsapuri di Relau, di sini.
Difahamkan, suspek yang mempunyai masalah mental itu telah menghubungi abangnya sendiri untuk memaklumkan perbuatannya itu.
Polis yang menerima panggilan daripada abang suspek kemudiannya bergegas ke lokasi untuk siasatan sebelum berjaya menahan suspek berusia 40 tahun di lokasi kejadian.
Difahamkan, suspek juga pernah mengugut untuk membunuh kesemua ahli keluarganya ketika mereka tinggal di Batu Maung sebelum ini.-UTUSAN










