SEREMBAN: Bagi meringankan kos yang perlu ditanggung, kerajaan Negeri Sembilan memberikan sumbangan sebanyak RM300 kepada anak-anak negeri ini yang melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh (SBP).
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sumbangan itu menerusi inisiatif Bantuan Kemasukan Asrama Penuh (BKAP) menerusi Yayasan Negeri Sembilan (YNS).
“Saya berharap dengan sumbangan ini ia sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa meringankan sedikit bebanan dan mempermudahkan urusan pendaftaran anak-anak mereka,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi YNS berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani Kali Ke-11 di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 21 orang pelajar tingkatan satu dari tiga buah sekolah menerima BKAP.
Mereka masing-masing seramai lima pelajar dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani, Maktab Rendah Sains Mara, Serting (lapan orang) dan Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar (lapan orang).
Sementara itu, ketika berucap pada majlis itu, Aminuddin menasihatkan ibu bapa ibu bapa untuk memberikan komitmen dengan melibatkan diri Bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Sepatutnya, ibu bapa memberi komitmen hadir mendengar serta memberi pandangan dalam sesi perbincangan bersama PIBG dan tidak hanya tahu merungut sahaja.
“PIBG dan guru-guru amat bertungkus-lumus memastikan kecemerlangan anak-anak disamping memastikan mereka (pelajar) dapat belajar dalam keadaan kondusif dan selesa, tetapi sikap ibu bapa yang menyerahkan 100 peratus tanggungjawab di bahu pihak sekolah dan PIBG tidak seharusnya berlaku,” katanya lagi.-UTUSAN.










