Rakyat Palestin terpaksa ikat perut ekoran sekatan Israel

Rakyat Palestin terpaksa ikat perut ekoran sekatan Israel

KANAK-KANAK beratur untuk menerima makanan di sekolah dekat Kem Jabalia, baru-baru ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Palestin di Semenanjung Gaza terpaksa ikat perut ekoran tindakan rejim Zionis membuat sekatan bantuan kemanusiaan di sempadan Rafah yang mana menjadi satu-satunya sempadan untuk ke Semenanjung Gaza buat masa sekarang.

Kesemua rakyat Palestin terperangkap di kawasan selatan Semenanjung Gaza, Rafah akibat dari serangan bertubi-tubi tentera Zionis.

Lebih malang, kesemua mereka yang berada di utara Gaza dinafikan hak untuk mendapatkan bekalan makanan, air bersih dan barangan keperluan harian sejak 25 Oktober lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Aqsa Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, tentera Zionis telah menguatkan lagi sekatan di sempadan yang menyebabkan bantuan kemanusiaan dari luar sempadan tidak kesampaian kepada rakyat Palestin.

Katanya, rakyat Palestin sangat memerlukan bantuan kemanusiaan itu kerana mereka telah mengalami kebuluran yang dahsyat dan ramai yang meninggal disebabkan kebuluran lebih-lebih lagi kanak-kanak yang masih kecil.

“Selain dari kebuluran, ramai rakyat Palestin terpaksa minum air yang tercemar yang mana air itu dipenuhi dengan penyakit dan mereka juga kekurangan makanan menghadapi kehidupan di bumi Gaza.

“Segala apa yang mereka makan adalah makanan yang tidak sihat dan tidak mencukupi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sejak 7 Oktober 2023, hampir 40,000 rakyat palestin syahid termasuk 15,000 kanak-kanak dan kira-kira lebih dari 100,000 cedera.

Genosid terhadap rakyat Pa­lestin tidak berhenti walaupun walaupun pada Hari Raya Aidiladha dan hari Arafah. Zionis berterusan membunuh rakyat Palestin yang tidak bersalah.

Mengulas lanjut, Sharif berkata, seramai 200 saudaranya telah syahid sepanjang genosid ini dilakukan oleh rejim Zionis.

Menurutnya, isteri kepada abangnya dan anak saudara pe­rempuan turut syahid ketika Zionis menghancurkan bangunan mereka di saat mereka sedang berlindung daripada bahaya.

“Abang saya dan anaknya turut cedera dan pengalaman ini merupakan paling sedih dan perit kepada saya.

“Sekarang, semua ahli keluarga saya berada di kawasan khemah pelarian. Akan tetapi, mereka juga tidak selamat kerana bila-bila masa sahaja Zionis akan menyerang mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×