PENYASARAN subsidi diesel langkah tepat selamatkan negara

Penyasaran subsidi diesel langkah tepat selamatkan negara

PENYASARAN subsidi dapat mengelakkan orang luar mengambil kesempatan terhadap diesel negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, 

PENYASARAN  subsidi diesel yang diumumkan kerajaan merupakan langkah tepat bagi menyelamatkan negara daripada ketirisan akibat penyeludupan yang sentiasa menjadi isu sepanjang tahun. 

Dengan langkah tersebut kerajaan mampu menyasarkan subsidi diesel kepada yang layak mengikut kriteria yang telah diputuskan melalui bantuan subsidi berjumlah RM200.

Keberkesanan pelaksanaan subsidi diesel bersasar bukan bererti kerajaan menghapuskan subsidi seperti yang dicanang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bahkan penyasaran subsidi diberikan kepada mereka yang layak terutamanya pengguna kenderaan diesel yang berdaftar dengan pihak berkuasa. 

Manakala penambahbaikan sudah tentu akan diteruskan oleh pihak kerajaan bagi memastikan hanya yang layak akan diberikan bantuan subsidi.

Pelaksanaan ini dianggap tidak popular memandangkan ada suara-suara yang tidak berpuas hati terutamanya mereka yang kaya ataupun penyeludup tegar disebabkan ketegasan pihak berkuasa meluncurkan dasar subsidi diesel bersasar. Hal ini kerana ia mampu mengekang aktiviti haram penyeludupan diesel dan seterusnya memberikan keuntungan kepada pihak yang memerlukan bantuan. 

Walau bagaimanapun, pelaksanaan penyasaran subsidi bersasar akan sentiasa ditambah baik mengikut keperluan kewangan negara jika hasil penyeludupan berjaya dibanteras dengan total. Manakala penyasaran subsidi diesel bersasar mampu memberikan penjimatan untuk negara membina kemudahan infrastruktur yang lebih baik seperti pengangkutan dan kemudahan awam yang lain.

Justeru, rakyat tidak perlu bimbang dengan penyasaran subsidi diesel bersasar kerana akhirnya nikmat daripada langkah tersebut akan dipulangkan kembali kepada rakyat.  

Langkah ini penting bagi memastikan generasi masa depan dapat menikmati kebahagian hidup yang lebih sempurna dan pelaksanaan ini pasti memberikan kesan positif terhadap kemajuan negara dalam memacu sektor ekonomi dengan lebih adil, tersusun dan memenuhi maqasid syariah.-UTUSAN 

 

DR. ZURAIMY ALI

Pensyarah Kanan

Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)

Universiti Teknologi MARA cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×