PASIR SALAK: Hasil durian di Kampung Gajah di sini pada musim ini mungkin berkurangan akibat gangguan kera dan beruk liar.
Masalah itu dialami kebanyakan pemilik dusun apabila kumpulan kera dan beruk dianggarkan lebih 50 ekor sering merosakkan putik dan buah durian yang masih muda.
Ibrahim Mat Nyan, 51, berkata, kawanan kera dan beruk liar datang kawasan hutan berdekatan dan memenuhi dahan pokok dan memetik tangkai buah durian yang belum matang dan yang baru berputik.
Menurutnya, malah ada buah yang hampir masak gugur bersepah di atas tanah akibat haiwan liar tersebut.
“Saya mempunyai tiga ekar tanaman durian dan banyak buah dan putiknya sudah digugurkan oleh kera dan beruk. Buah yang hampir masak juga digugurkan oleh haiwan liar itu. Ada buah yang berlubang, buah yang masih tinggal semakin berkurangan,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu Hitam di sini.
Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan untuk menghalau haiwan liar itu termasuk meletupkan mercun tetapi tidak berkesan.
“Haiwan ini seakan-akan tidak takut pada manusia malah akan datang semula dengan kumpulan yang lebih besar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Pasir Salak, Nor Azri Soko berharap pihak berwajib membantu pemilik dusun mengatasi ancaman haiwan liar itu yang semakin menjadi-jadi.
“Kalau masalah ini dapat diatasi, sekurang-kurangnya masih ada buah yang tinggal di pokok sempat untuk masak dan luruh dijangka dua ata tiga bulan lagi,” katanya.- UTUSAN










