Persediaan awal perlu dilakukan sebelum dialisis

Persediaan awal perlu dilakukan sebelum dialisis

PERSEDIAAN awal amatlah penting untuk mengurangkan tekanan, bebanan perasaan dan mengawal kemurungan dalam kalangan mereka yang perlu menjalani rawatan dialisis. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ANTARA persediaan yang perlu bagi yang mengalami kegagalan buah pinggang tahap akhir ialah kesediaan fizikal. Pembedahan kecil perlu dibuat untuk mewujudkan akses kepada rawatan bergantung kepada jenis dialisis yang perlu jalani.  Keengganan untuk melakukan pembedahan lebih awal boleh menyebabkan komplikasi yang teruk dan membahayakan nyawa sendiri. 

Pakar buah pinggang atau lebih dikenali sebagai pakar nefrologi akan membantu prosedur ini sekiranya telah membuat keputusan untuk meneruskan rawatan secara dialisis. 

Kedua, persediaan mental dan emosi amatlah penting kerana dialisis perlu dilakukan sepanjang hidup. Konsultasi daripada pakar nefrologi diperlukan supaya lebih bersedia dan lebih terbuka dalam menerima rawatan dialisis dan bertindak sewajarnya.

Perbincangan bersama ahli keluarga keluarga dan rakan-rakan mengenai dialisis dan bagaimana perasaan anda adalah digalakkan. Sokongan daripada orang sekeliling yang rapat dapat membantu penyediaan emosi yang lebih baik dalam menghadapi dialisis.

Selain itu,  anda boleh berjumpa dan berbual dengan pesakit yang berada di dalam keadaan yang sama dengan atau yang sedang menjalani rawatan dialisis. Mereka boleh berkongsi pengalaman mereka sebagai persediaan diri untuk menjalani dialisis seterusnya dapat mengurangkan tekanan emosi dan mental anda.  

Dari segi persediaan kewangan, kos rawatan menjalani dialisis agaklah mahal dan boleh membebankan, namun anda boleh mendapatkan bantuan daripada beberapa agensi termasuk fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia, pusat zakat, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Perkhidmatan Awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

Pemilihan pusat dialisis yang berdekatan dengan tempat tinggal atau tempat kerja anda mengikut kesesuaian masa, sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos perjalanan ulang alik serta dapat mengelakkan masalah pengangkutan ke tempat dialisis.

Bekerja merupakan salah satu cara yang baik untuk kekal aktif namun menjadi kerisauan kepada sesetengah pesakit dialisis terhadap kemampuan mereka untuk mencari rezeki. Anda perlu tahu dan peka tentang kemampuan diri masing-masing untuk terus bekerja. Sesetengah pesakit muda masih mampu dan boleh bekerja seperti biasa. Anda disarankan untuk berbincang dengan majikan untuk mendapat  kelonggaran dalam waktu bekerja yang lebih fleksibel atau pengurangan bebanan kerja bersesuaian dengan kemampuan anda.  

Teruskan dengan pekerjaan  jika anda masih bekerja walaupun memerlukan dialisis kerana ia penting untuk kesihatan anda sama ada dari segi mental mahupun dari segi kewangan. 

Dari segi pemakanan, pengamalan diet pemakanan yang betul untuk pesakit dialisis berdasarkan panduan dari pakar nefrologi amatlah penting untuk meningkatkan kualiti kesihatan diri anda. Rancang dan ubah cara pemakanan  berdasarkan keadaan tahap penyakit buah pinggang dan jadikan ia rutin pemakanan yang sihat dan betul selain boleh berkongsi bersama dengan ahli keluarga dalam kehidupan seharian.

Persediaan awal amatlah penting untuk mengurangkan tekanan, bebanan perasaan dan mengawal kemurungan dalam kalangan mereka yang perlu menjalani rawatan dialisis. Kesimpulannya, persediaan awal dari segi fizikal, mental, emosi, kewangan dan pemakanan dapat membantu anda untuk lebih bersedia dalam menjalani dialisis dan mempunyai kehidupan yang lebih berkualiti bersama orang tersayang.-UTUSAN

NATASHA NAWI
Instruktor Klinikal Pusat Pengajian Kejururawatan
Fakulti Sains kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Kampus Puncak Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×