Negara tamadun dengan semangat Iqra'

Negara tamadun dengan semangat Iqra’

UNTUK menjadi sebuah bangsa yang maju dan cemerlang, semangat menuntut ilmu yang terdapat dalam Iqra’ tersebut perlu diteladani. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, 

WAHYU pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad membawa perintah “Bacalah” atauIqra’. Menerusinya,  Allah menekankan kepentingan ilmu pengetahuan melalui pembacaan. Inilah kunci utama kepada  kejayaan dan kemajuan tamadun Islam pada suatu ketika dahulu.

Iqra’ ini membawa satu revolusi ilmu yang memberikan impak besar kepada kemajuan tamadun manusia. Umat Islam ketika itu begitu komited dalam menuntut ilmu sehingga sanggup mengembara jauh untuk mendalami pelbagai disiplin ilmu.

Hasil usaha gigih ini, tamadun Islam mencapai kemuncaknya dengan melahirkan ramai tokoh ilmuwan dan cendekiawan seperti al-Khawarizmi (Bapa Algebra), Ibnu Sina (Bapa Perubatan Moden), al-Biruni (Bapa Geografi) dan ramai lagi tokoh yang menguasai pelbagai bidang secara serentak.

Sumbangan besar mereka dalam bidang sains, perubatan, falsafah, matematik dan pelbagai bidang ilmu lagi masih berbekas sehingga hari ini.

Ini membuktikan bahawa budaya membaca dan menuntut ilmu yang diamalkan secara konsisten mampu melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi, berpengetahuan luas, mempunyai pemikiran kritikal dan kreatif serta mampu menyumbang besar kepada pembangunan sesebuah tamadun dan negara.

Justeru, untuk menjadi sebuah bangsa yang maju dan cemerlang, semangat menuntut ilmu yang terdapat dalam Iqra’ tersebut perlu diteladani.

Budaya membaca perlu dipupuk sejak awal agar dapat melahirkan generasi pencinta ilmu dan seterusnya meneruskan legasi kecemerlangan.

Cara yang berkesan untuk mengembangkan pemikiran adalah dengan membaca sebanyak-banyaknya. Semakin banyak idea yang dituang masuk ke dalam otak melalui pembacaan, semakin tinggi kelebihan seseorang untuk menjadi seorang yang serba boleh dalam menghadapi pelbagai situasi dan cabaran hidup.

Pendedahan kepada pelbagai ideologi, gaya bahasa, sejarah, biografi, penulisan ilmiah, pengalaman dan ilmu pengetahuan semakin meluas dengan setiap buku yang dibaca. Dengan mempelajari apa yang telah diteliti oleh orang terdahulu, seseorang dapat melonjak jauh ke hadapan.

Situasi ini memendekkan jalan baginya untuk mencapai kekayaan maklumat yang tersedia dalam era ini dan menjimatkan masa serta tenaga daripada terheret dalam perbincangan yang tidak produktif atau berkesan.

Apa yang dibaca juga mampu mempengaruhi identiti seseorang sebagai seorang individu mahupun anggota sesuatu masyarakat atau bangsa. Membaca bahan-bahan berkaitan sejarah, budaya dan falsafah akan mengukuhkan jati diri serta membentuk identiti yang kukuh.

Ringkasnya, pembacaan merupakan satu pengalaman holistik yang mengasah kebolehan kognitif, emosi, kreativiti dan sahsiah seseorang secara menyeluruh. Ia bukan sahaja membekalkan ilmu dan maklumat, malah bertindak sebagai pemangkin kepada perkembangan minda, perasaan dan imaginasi seseorang.

Oleh itu, sebuah negara yang mahu maju dan berdaya saing perlu membentuk masyarakat yang mengangkat ilmu pengetahuan. Dengan itu, negara mampu melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi, berinovasi, berfikiran kritikal dan terbuka, seterusnya memanfaatkan kapasiti mereka untuk memakmurkan negara.

Inilah praktik legasi tamadun-tamadun cemerlang yang perlu diteruskan agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dunia hari ini. Oleh itu, jadilah rakyat yang membaca demi meluaskan wawasan dan memelihara ilmu. Semua itu akan membuatkan anda dapat meneroka dunia seluas-luasnya.

BASMIN MAAROF

Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×