PETALING JAYA: Jaguh boling wanita negara, Sin Li Jane memahat nama dalam sejarah Malaysia apabila muncul juara Kejohanan Terbuka Wanita Amerika Syarikat (AS) di Royal Pin Woodland, Indianapolis, kelmarin.
Pemain berusia 32 tahun itu berhasil mempamerkan permainan cemerlang merangkul kejuaraan terbabit selepas menewaskan pemain dari Latvia, Diana Zavjalova 226-214 pada perlawanan akhir stepladder.
Li Jane menerusi satu kenyataan berkata, beliau amat berbangga dengan permainan yang dipamerkan dan sudah lama mengimpikan kejuaraan ini sejak dahulu lagi
“Saya berasa sangat gembira, saya mahu memastikan bahawa saya akan mendapat kemenangan malam ini (kelmarin).
“Saya sudah lama mengimpikan detik ini selepas menyaksikan pemain boling lain memenanginya semasa berada di tempat lawan tetapi pada hari ini, saya memenanginya,” katanya.
Kemenangan yang diraih itu sekali gus menyaksikan Li Jane menjadi wakil Asia kedua merangkul gelaran utama terbabit selepas Shinobu Saitoh dari Jepun pada tahun 1982.
Terdahulu, Li Jane merangkul kejuaraan Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) ketiganya selepas merangkul Greater Nashville Classic serta memenangi Bowlers Journal Rockford Open, bulan lalu.
Dalam pada itu, Li Jane kini menjadi pendahulu bagi anugerah pemain terbaik tahunan PWBA berdasarkan mata dan kemenangan yang beliau raih.
Menurutnya, jika beliau meneruskan persembahan terbaik pada minggu Jelajah PWBA di Thunderbowl Lanes Detroit, Michigan, 6 hingga 13 Ogos ini, peluang untuk merangkul anugerah berkenaan cerah.
“Saya tidak pernah terfikir untuk memenangi pemain terbaik tahun ini. Saya hanya akan mengambilnya satu perkara pada satu masa dan membiarkan apa yang ianya berlaku kepada saya,” ujarnya.
Untuk rekod, pencapaian terbaik wakil Malaysia hanya menerusi Datuk Shalin Zulkifli yang menduduki tempat ketiga pada edisi 2008.
Li Jane yang merangkul gelaran utama itu membawa pulang hadiah wang sebanyak AS$60,000 (RM282,900) serta jaket hijau kejuaraan dan trofi, manakala naib juara menerima AS$30,000 (RM141,500). – UTUSAN










