STUTTGART: Tuan rumah Jerman menjadi pasukan pertama yang layak ke pusingan 16 terakhir Euro 2024 selepas menewaskan Hungary 2-0 di Stuttgart, sebentar tadi.
Jamal Musiala dan kapten, Ilkay Gundogan masing-masing menjaringkan satu gol untuk memastikan kemenangan kedua berturut-turut Jerman dalam saingan Kumpulan A.
Kemenangan berkenaan membolehkan Jerman memastikan mereka akan menamatkan sekurang-kurangnya sebagai salah satu pasukan terbaik di tempat ketiga.
Dalam aksi di MHP Arena itu, Jerman berada di hadapan pada minit ke-22 menerusi penyudah Musiala biarpun pada awalnya gol itu dibantah Hungary susulan kekasaran Gundongan ke atas pertahanannya, Will Orban.
Bagaimanapun, jaringan berkenaan disahkan selepas penilaian oleh video bantuan pengadil (VAR) sebelum jaringan penyamaan Hungary menerusi Roland Sallai dibatalkan susulan ofsaid
Hungary cuba bangkit dengan melancarkan serangan balas untuk mencari gol penyamaan namun, kecekapan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer berjaya menafikan beberapa percubaan bahaya lawan.
Pada minit ke-67, Gundogan yang juga pemain tengah Barcelona menggandakan kedudukan buat Jerman apabila meledak gol kedua untuk membolehkan Jerman menang 2-0.
Jerman boleh menutup kempen Kumpulan A selaku juara kumpulan seandainya mereka berjaya menumpaskan Switzerland dalam perlawanan terakhir pada Ahad ini.
Dalam pada itu, Hungary berisiko tersingkir awal selepas tumpas dua perlawanan berturut-turut dan mereka wajib menewaskan Scotland jika mereka ingin membuka peluang mara ke pusingan 16 terakhir selaku pasukan tempat ketiga terbaik.-AGENSI










