PETALING JAYA: Pengukuhan hubungan bilateral dengan China bukan hanya untuk meraih keuntungan jangka pendek sebaliknya bagi menjamin kepentingan jangka panjang kepada negara dan rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, China tampil sebagai rakan dagang terbesar sejak 15 tahun lalu membuktikan kepentingan hubungannya dengan Malaysia.
“Inisiatif ‘Belt and Road’ telah merangsang hubungan dan kerjasama antarabangsa manakala projek ‘Two Countries, Twin Park’ memberikan suntikan ekonomi yang besar terutamanya di Pantai Timur Semenanjung.
“Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang berjalan dan projek Automotive High-Tech Valley menjadi perangsang pertumbuhan (ekonomi) serta membuka peluang pekerjaan lebih dinamik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Hubungan Malaysia-China Ke-50 yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri China, Li Qiang, hari ini.
Perdana Menteri berkata, dengan kerjasama tersebut, beliau berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara dihormati di peringkat global dan pencapaian dikecapi tidak hanya sementara sebaliknya berkekalan hingga ke generasi seterusnya.
Justeru, Anwar berkata, Kerajaan Madani akan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan Malaysia di seluruh dunia untuk mengejar impian tersebut.
“Oleh itu, saya mengajak semua rakyat Malaysia, serta rakan sejawat kita di China, untuk mengumpulkan keberanian dan kebijaksanaan yang telah mengukuhkan hubungan kita sejak awal dan membentuk era baharu hubungan antara kedua negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan bahawa Malaysia melihat hubungan dengan China bukan hanya dalam konteks bilateral sebaliknya melalui skop lebih strategik yang komprehensif.
“Kami percaya bahawa dalam kepentingan strategik Malaysia untuk menjalinkan persahabatan dan kerjasama dengan China bukan melawannya.
“Kami berusaha sepenuhnya untuk terlibat secara diplomasi dengan China dan mengintegrasikannya dalam urusan serantau, bukan kerana ia sentiasa mudah, tetapi ia penting untuk masa depan bersama,” katanya. – UTUSAN










