Syed Saddiq: Lengah Undi18 dibimbangi ada campur tangan politik - Utusan Malaysia

Syed Saddiq: Lengah Undi18 dibimbangi ada campur tangan politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan pendaftaran automatik me­ngundi pada usia 18 tahun yang dijangka hanya dibenarkan pa­­da Sep­tember tahun depan dibimbangi dipengaruhi campur tangan politik.

Ini kerana pelaksanaannya mengambil tempoh terlalu lama sedangkan Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 dan sepatutnya berkuat kuasa Julai ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak harus melengahkan pelaksanaan undi 18 tahun kerana perkara itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya risau ada campur ta­ngan politik untuk mendiamkan pengundi muda kerana takutkan gelombang anak-anak muda dalam pilihan raya nanti. Soal ini perlu mendapat penjelasan daripada rakan-rakan dalam Kabinet berkenaan pendirian kerajaan PN kerana menteri-menteri UMNO telah mengeluarkan ke­nyataan bersama sebelum ini mendesak SPR melaksanakan undi 18 tahun pada tarikh ditetapkan.

“Kita (SPR) tidak boleh guna alasan lagi kerana pada akhir­nya, perkara ini sudah diluluskan di Dewan Rakyat malah mendapat perkenan Seri Paduka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Undi18 dan pendaftaran automatik pengundi dirancang, digubal dan diusulkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 lalu dan diluluskan parlimen serta mendapat sokongan 211 daripada 222 ahli pada 16 Julai 2019.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, Undi18 tidak dapat diteruskan kerana pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.

SPR baru-baru ini menjelaskan, Undi18 hanya akan dilaksanakan selepas 1 September 2022 kerana persiapan mereka terjejas susulan PKP.

Dalam pada itu, Syed Saddiq menyokong cadangan agar kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dilakukan dengan pendaftaran pemilih secara manual tanpa menunggu pendaftaran automatik yang masih kabur pelaksanaannya.

“Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican juga mencadangkan alternatif lain kerana hujah yang dipakai SPR bahawa pendaftaran undi automatik memakan masa. Undi18 tahun dilaksanakan minggu depan pun boleh. Kita turun dan daftarkan diri secara manual. Jadi tidak perlu tunggu sampai Julai tahun depan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini