Pokok tualang 500 tahun mercu tanda Kampung Kuala Wau tumbang

Pokok tualang 500 tahun mercu tanda Kampung Kuala Wau tumbang

SANUSI Bakar melihat pokok tualang berusia lebih 500 tahun di kampung Kuala Wau, Maran yang tumbang bulan lalu. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Sebatang pokok tualang berusia lebih 500 tahun di Kampung Kuala Wau di sini tumbang bulan lalu sekali gus ‘mengakhiri hayat’ tumbuhan itu sebagai mercu tanda kampung terbabit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kampung Kuala Wau, Mohd. Zurin Md. Jais, 59, berkata, ketika masih hidup, pokok sebesar lebih 20 pemeluk orang dewasa itu merupakan keunikan yang dibanggai penduduk di situ.

Katanya, walaupun sering dilanda banjir seperti bah besar pada 1926 dan 1970/1971 serta dalam tahun 2000, tetapi ketahanan pokok ini mampu meneruskan survivalnya dan hayat tumbuhan itu berakhir berikutan kesan hakisan Sungai Wau.

“Pokok tualang ini juga menjadi tempat selamat lebah bersarang dan tempat bermain unggas-unggas dan burung-burung seperti enggang, punai dan spe­sies lain singgah serta membuat sarang.

“Lebih menarik sang lebah juga menjadikan pokok tualang ini sarang dan mengeluarkan sumber madu asli kepada penduduk,” katanya di sini.

Mohd. Zurin berharap ada pihak menanam semula pokok tualang di kampung itu bagi menggantikan pokok tua yang sudah tumbang atas faktor semula jadi.

“Penduduk kampung juga bercadang pokok tualang yang tumbang ini dipotong untuk dijadikan monumen untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

Seorang penduduk, Sanusi Bakar, 63, berkata, pokok tualang itu tumbuh di tanah nenek moyangnya dan menjadi mercu tanda kampung itu sejak ratusan tahun.

“Ini kerana perhubungan penduduk masih menggunakan Sungai Pahang menjadikan pokok tualang sebagai ‘rumah api’ sebagai panduan,” katanya.

Tambahnya, penduduk sedih kerana tiada lagi mercu tanda kampung terbabit yang menjadi tarikan orang luar datang ke Kampung Kuala Wau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×