Kecerdasan buatan disanggah, bagaimana haluan kita?

Kecerdasan buatan disanggah, bagaimana haluan kita?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTILAH kecerdasan buatan (AI) semakin mendapat liputan di mana sahaja, seolah-olah suatu ‘wahyu’ yang tidak boleh disanggah lagi. Terutama di dunia ketiga, baik ketua negara mahupun rakyat jelata seperti terpukau tidak terkira.

Dahulu Revolusi Industri (IR) 4.0, itu dan ini. Sekarang GPT-40 bertukar ganti. Esok apa pula agaknya, bagaikan kerbau dicucuk hidung. Tidak berani berganjak selagi tidak ‘diarah’ oleh tangan-tangan ghaib atas kepentingan mereka sendiri.

Kita sekadar membuntut sahaja dalam bicara tiada kelola sesedap rasa. Asalkan ada laba beserta kita. Kalau perlu dijual apa pun tidak mengapa, maruah, prinsip dan pegangan mengikut rasa, harta dan nama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tiba-tiba berkata pendeta komputer, “Saya tidak gemar istilah ‘kecerdasan buatan’ merujuk kepada AI kerana tidak suka ‘anthropomorphing’ AI, yakni memanusiawikan kecerdasan buatan.” Malah beliau terus menyatakan pandangan yang berbeza tentang interaksi manusia-komputer.

Bukan yang diburung-kakak-tuakan selama ini. Sekadar mengajuk tetapi sifar isinya. Umpama mengajar AI pada peringkat usia prasekolah, sedangkan kepada yang mendalami ia merujuk kepada amalan memberi kualiti manusiawi melebihi peralatan dan mesin. Ini tidak lain tidak bukan datangnya dari seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat komputer terkemuka dunia!

Kepadanya AI seperti alatan belaka. Mungkin luar biasa, tetapi bukanlah manusia. Jadi tidak perlu diperlakukan sedemikian kepadanya. Istilah AI yang diperkenalkan pada 1950-an, tujuh dekad lalu, mengikutnya amat malang sekali. Kita sebagai manusia sudah ada kecerdasan kendiri. Lebih canggih. Tidak perlu yang ‘buatan’. Yakni kita mempunyai yang ‘asli’ iaitu fitrah tentuan Ilahi! Bukan teknologi!

Betapa mendalami lagi Islami, malah mendakap akrab kerohanian manusiawi. Kita makhluk rohani bukan digital seperti yang dikenakan membuta tuli. Dan diikut-ikut. Sehinggakan pendidikan dan asuhan diri terseret menyalahi tabiat insani beralaskan teknologi kaku dan mati.

Mengikut CEO itu lagi, terdapat kelaziman menggunakan istilah manusiawi untuk teknologi yang mengelirukan! Seperti istilah ‘pembelajaran’ bagi menerangkan fungsi algoritma yang dibina untuk program perisian tertentu. Pembelajaran mesin kononnya. Namun ia tidak akan sama dengan fitrah pembelajaran bagi manusiawi sejati. Melibatkan hati sanubari, akal budi.

‘Kecerdasan’ yang diterima dari teknologi tidak langsung menyerupai apa yang semula jadi anugerah Ilahi. Dengan sentuhan roh serta kerohanian sebati. Untuk sekadar memasarkan AI ia mungkin berjaya, namun sekiranya kembali kepada soal pokok ia tetap terpaku dengan harta dan nama bagi segala-galanya. Kontang jiwa dan rasa, tidak seumpama manusia. Sia-sia sahaja bertuhan teknologi berbagai rupa dan warna.

 

PENGGUNAAN kecerdasan buatan (AI) dalam memusnahkan nyawa di Gaza tanpa berperikemanusiaan memerlukan kawalan seketat mungkin tanpa sempadan.

SALAH GUNA TEKNOLOGI
Terbatas terus kepada ekonomi untuk modal insan yang tidak sejahtera. Maka meletakkan nilai-nilai kemanusiaan seperti berbudi, beradab, berbelas kasihan mendahului pembangunan AI semestinya mutlak dalam memaknakan keuntungan teknologi tidak mengatasi kesejahteraan manusia sejagat.

Contohnya, terkini penggunaan AI dalam memusnahkan nyawa di Gaza tanpa berperikemanusiaan memerlukan kawalan seketat mungkin tanpa sempadan.

Dalam hal ini Kesatuan Eropah sudah mengambil langkah pertama (seperti terbitan ruangan UIAM Berhujah, 23 Mei 2024), namun ada yang tidak setuju atas dasar kepentingan sendiri yang tamak dan gelojoh.

Soal pokoknya, di mana semua ini akan berakhir, masih belum terjawab dengan pasti, tidak bezanya bak revolusi industri sebelum ini dan masalah pensejagatan yang juga belum selesai jika tidak pun bertambah teruk umpama krisis iklim, penyahmanusiaan, penjajahan ala teknologi yang mengulangi derita sejarah dunia yang lampau, tanpa mendapat manfaat darinya akibat kepupusan nilai-nilai kemanusiaan yang disisih teknologi sifar nilai. Tidak kira apa rupa hiasan luaran yang menghairahkan. Dalaman terus sumbang.

Hakikatnya amat berbeza antara manusia dan bukan manusia, luar dan dalam. Saya masih merasakan jika panggilan AI dapat disangkal kerana manusia memperoleh kecerdasan semula jadi dan ‘buatan’ tidak bererti, bagaimana pula halnya akan panggilan ChatGPT yang berkaitan.

Kita juga empunya Chat tersendiri, ChatGOT – Godly Ordained Transformer, yang menyentuh jiwa kalbu melalui bisikan hati tanpa teknologi. Malah sebaliknya apabila ChatGPT mengambil tempat dalam perbualan yang memendam diri di reka cipta manusia kesannya amat jauh sekali. Lantas yang bijak bestari bersumberkan ChatGOT!

Kesudahannya, bak kata CEO tersebut adalah kebimbangan bahawa hakikat yang revolusi industri umumnya tidak menyentuh sebahagian besar dunia. Dan ini adalah angkatan lebih besar daripada itu.

Ternyata akan aspek kemanusiaannya lebih perlu di ambil peduli sekiranya sentuhan dunia yang lebih menyeluruh ingin dicakupi. Berbalik kepada asas kegusaran akan panggilan AI seperti yang disuarakan, sekali gus meletakkan dunia dalam keadaan terumbang-ambing agar kemanusiaan tidak terancam oleh teknologi yang mereka cipta.

Apatah lagi tanpa roh serta nilai-nilai melewati harta, benda dan nama. Bukan jiwa dan roh mulia.

Manusia cerdas mengawalnya melalui nilai adab budi tidak kepunyaan teknologi serba serbi. Jangan bertuankan AI teknologi.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×