UMNO berpecah? - Utusan Malaysia

UMNO berpecah?

AHMAD Zahid Hamidi menegaskan Barisan Nasional akan bertanding bersendirian dan menggunakan logo serta lambang dacing dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO dilihat semakin berpecah ekoran percanggahan pendapat dalam kalangan pemimpinnya yang masih tidak mencapai kata sepakat walaupun perhimpunan agung parti itu Ahad lalu telah menggariskan dengan jelas hala tuju parti tersebut.

Kenyataan pemimpin parti yang bercanggah antara satu sama lain dalam gabungan Muafakat Nasional (MN) juga dibimbangi tidak diterima di peringkat akar umbi apatah lagi untuk mengharapkan sokongan dalam Pilihan Raya Umum (PRU-15) selepas ini.

Bermula daripada tindakan menteri-menteri UMNO mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Rakyat Malaysia (Bersatu) berbanding berjumpa presiden mereka, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, suara-suara yang `menongkah arus’ timbul termasuklah mendesak agar diadakan pemilihan dalam UMNO.

Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendesak UMNO supaya segera mengadakan pemilihan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin hubungan UMNO dengan Pas masih baik walaupun sekutunya dalam MN itu dilihat cenderung kepada Bersatu, malah terus memperkasakan hubungan dengan sekutunya itu dalam Perikatan Nasional (PN).

Namun, berbeza dengan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang mahu Pas membuat ketetapan sama ada ingin bersama parti itu dalam MN ataupun Bersatu dalam PN.
Shahril Sufian berkata, Pas tidak boleh bekerjasama dengan kedua-duanya kerana ia akan memberi kesan kepada pertembungan pada PRU-15 susulan UMNO telah memutuskan tamat kerjasama dengan Bersatu.
“Kena ada penamatnya kerana sudah tentu ada komplikasi apabila Pas dilihat mahu menyokong kedua-duanya,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Nada yang berbeza diutarakan Ismail Sabri yang mengatakan hubungan antara UMNO dan Pas masih baik meskipun parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dilihat cenderung untuk bekerjasama dengan PN dalam menghadapi PRU-15.

Beliau berkata, sekalipun Pas menubuhkan jawatan kuasa baharu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerajui PN, ia tidak sesekali menarik perhatian UMNO yang tetap berpegang dengan prinsip memperkasa kerjasama dengan Pas.

“Kita masih bersama Pas. Tetapi kalau ada apa-apa perkembangan kita akan bincanglah. Biasanya setiap dua minggu sekali UMNO dan Pas akan mengadakan mesyuarat dan mungkin selepas ini kita akan berbincang lagi.

“Hubungan akar umbi dan pimpinan tertinggi pun masih macam dulu jadi tiada isu. Bulan Ramadan ini banyak program bersama yang akan kita laksanakan,” ujarnya.

Sementara itu pemimpin Bersatu, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, tindakan kesemua Menteri UMNO terus kekal berada di dalam Kabinet membuktikan wujud kelompok yang tidak bersependapat dengan Ahmad Zahid Hamidi.

“Adakah mereka bersama Presiden sedangkan mereka tidak meletak jawatan. Tidak letak jawatan itu memang pedih juga dan diibaratkan umpama menarik nafas daripada hidung,” katanya kepada pemberita di sini selepas menanam pokok sempena Program Gotong-Royong Bersama Yayasan Budi di Pusat Kebudayaan Orang Asli Mah Meri Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, di sini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kesemua Menteri UMNO akan terus kekal berada di dalam Kabinet atas kesepakatan dan setelah menerima nasihat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rais yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jelebu berkata, setakat ini, apa yang didengari rakyat ketika ini hanya kenyataan daripada Ahmad Zahid dan mungkin tidak dirasai golongan bawahan.

“Pendirian yang begitu tegas ini mungkin mencernakan pandangan bahawa orang Melayu dan Islam mesti bersatu supaya kuasa di negara ini tidak lepas kepada pihak lain.

“Pada hemat saya, menjadi tanggungjawab kepada Presiden (UMNO) menyatukan orang Melayu. Jika Bersatu dan Pas boleh merasakannya, kenapa tidak UMNO?” ujarnya.

Tambah beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Negara, soal perjuangan orang Melayu dan Islam perlu terus diletakkan pada tahap tertinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×