PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) bakal menggunakan isu penyasaran subsidi diesel dan kos sara hidup sebagai bahan kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada 6 Julai ini.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, langkah tergesa-gesa daripada kerajaan menyebabkan berlakunya peningkatan kos sara hidup yang membebankan rakyat termasuk pengundi di Sungai Bakap.
Menurut beliau, kerajaan turut didakwa melakukan pembaziran apabila mewujudkan dua sistem yang berbeza iaitu Pangkalan Data Utama (PADU) dan Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani).
“Rakyat sudah marah, lihat betapa banyak kos yang mengalami kenaikan? Kerajaan tidak mampu kawal. Jadi kita (PN) akan terus protes, lawan dalam PRK Sungai Bakap ini.
“Penghinaan-penghinaan yang dilakukan oleh Menteri dalam ceramah terhadap nelayan dan sebagainya menunjukan mereka sudah bankrap idea untuk mempertahankan nasib rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas berikutan mengalami keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal berjaya menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Bagi PRK Sungai Bakap, PN mempertaruhkan bekas pegawai khas kepada Nor Zamri, Abidin Ismail bagi mengekalkan kerusi tersebut, manakala Pakatan Harapan (PH) pula menamakan bekas Pengarah Institut Aminudin Baki (IAB) Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin sebagai calon.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal turut menggesa calon PKR tidak menggunakan jentera kerajaan dalam kempen PRK Sungai Bakap.
“Dia janji (tidak buat) tetapi tetap buat juga sebaliknya. Sekarang ni pun sudah memberi sumbangan kepada masjid-masjid.
“Kempen belum mula secara rasmi, jadi tidak nampak lagi setakat ini,” ujarnya.










