PETALING JAYA: BM Greentech Berhad (BM Greentech) menandatangi perjanjian terma untuk mengambil alih 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Plus Xnergy Holding Sdn. Bhd. (Plus Xnergy) pada harga RM110 juta.
Menurut kenyataannya, cadangan pengambilalihan tersebut dibuat melalui penerbitan 81.48 juta saham baharu pada harga terbitan RM1.35 sesaham.
Katanya, perjanjian jual beli saham bersyarat (SSA) akan ditandatangani dalam tempoh 30 hari daripada perjanjian terma.
BM Greentech berkata, pengambilalihan tersebut sejajar dengan usahanya memperkukuh kedudukan sebagai peneraju penyelesaian tenaga bersih yang menyeluruh dan menawarkan pelbagai perkhidmatan yang lebih luas.
“Pengambilalihan strategik ini menggabungkan kepakaran dan sumber dari kedua-dua syarikat dan meletakkan BM Greentech untuk pertumbuhan perniagaan yang signifikan.
“Selain itu, ini mendorong ke arah visi menjadi rakan kongsi pilihan untuk penyelesaian tenaga bersih dan air di rantau ini,” katanya.
BM Greentech akan menjalankan penerbitan khas saham baharu pada harga yang sama iaitu RM1.35 kepada syarikat induknya, QL Green Resources Sdn. Bhd.
“Hasil yang diperoleh dari penerbitan khas ini akan digunakan untuk pengembangan perniagaan BM Greentech ke dalam sektor tenaga bersih.
“BM Greentech akan menyuntik dana ekuiti tambahan sehingga RM50 juta untuk memacu pertumbuhan dan pengembangan perniagaan Plus Xnergy,” ujarnya.
BM Greentech yakin pengambilalihan ini akan mencipta nilai tambah kepada pemegang sahamnya.
“Entiti gabungan ini akan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian tenaga bersih di Malaysia dan rantau ini dengan manfaat daripada capaian geografi BM Greentech dan QL,” tambahnya.–UTUSAN










