PETALING JAYA: Pengambilan makanan tidak sihat pada usia awal kehamilan seperti makanan proses meningkatkan risiko kelahiran bayi autisme.
Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, walaupun masalah autisme berkait rapat dengan genetik, namun faktor luaran juga boleh menjadi penyumbang.
“Makanan proses, makanan segera seperti sosej dan burger yang kita semua tahu mengandungi bahan pengawet yang sangat tinggi dan menyebabkan toksik pada kandungan badan menjadi tinggi.
“Apabila makanan ini diambil pada awal kehamilan, ia boleh memberi kesan terhadap kandungan seperti anak yang dilahirkan berisiko autisme,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan sebanyak 25,580 individu di negara ini didiagnosis autisme dalam tempoh tiga tahun lepas.
Statistik orang kurang upaya (OKU) aktif subkategori pembelajaran autisme oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu turut menyaksikan peningkatan kelahiran anak-anak autisme pada 2021 hingga 2023.
Sejumlah 4,734 kes autisme dicatatkan pada 2021, diikuti 8,489 kes pada 2022 dan 12,357 kes pada 2023.
Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Komuniti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh menasihatkan golongan ibu hamil untuk tidak mengambil ubat-ubatan yang tidak disahkan keselamatannya oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Sekarang kalau kita lihat terlalu banyak suplemen kesihatan yang tidak dapat dipastikan keselamatannya terutama kepada ibu mengandung. Jadi, jangan amalkan bagi mencegah risiko anak autisme,” katanya.
Kata beliau, pada awal kehamilan lagi, para ibu perlu menjaga kesihatan dengan mengambil kalsium secukupnya.
“Ada kajian mengkaitkan makanan ibu sebelum mengandung dengan masalah anak autisme dan perkembangan neuro lain terganggu terutama jika kekurangan kalsium.
“Jadi, langkah pencegahan terbaik adalah menjaga kesihatan dengan pengambilan kalsium yang mencukupi sebelum merancang kehamilan,” jelasnya. – UTUSAN











