PETALING JAYA: Mempolemikkan isu sekolah satu aliran dianggap perbuatan sia-sia kerana banyak lagi perkara penting berkaitan pendidikan boleh diperdebat.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, isu tersebut tidak perlu pun dijadikan sebagai polemik kerana ia hanya menjejaskan kestabilan kaum dan negara.
Katanya, tidak ada masalah melibatkan sekolah satu aliran kerana ada sahaja kaum lain memilih sekolah itu sebagai pilihan untuk belajar.
“Kalau dilihat buat masa sekarang, banyak lagi perkara lain boleh disentuh tentang kemajuan pendidikan seperti isu bahasa Inggeris yang berlaku sekarang, kenapa tidak yang itu?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Majlis Perundingan Melayu (MPM) menggesa kerajaan segera melaksanakan sekolah satu aliran di seluruh negara secara berperingkat memandangkan tahap perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum belum tercapai meskipun hampir 70 tahun negara mencapai kemerdekaan.
MPM dalam satu kenyataan bersama tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain berkata, keadaan itu berlaku kerana pelajar di negara ini dipisahkan dengan sistem atau acuan berbeza iaitu kewujudan sekolah vernakular sejak awal persekolahan hingga berusia 15 tahun.
Fouzi berkata, sekiranya mahu mewujudkan sistem sekolah satu aliran, ia akan memakan masa dan tenaga.
Menurutnya, ia memerlukan persetujuan bersama daripada beberapa kementerian dan perlu mengubah perlembagaan.
“Bukan sekadar itu sahaja, jika perkara ini dibawa ke mahkamah, sudah tentu memerlukan persetujuan mahkamah juga.
“Sekiranya ditolak, hanya sekadar membazir masa dan tenaga untuk memperjuang perkara yang tidak menjadi masalah kepada semua,” katanya. – UTUSAN










