Dua pemandu bas ditahan positif dadah

Dua pemandu bas ditahan positif dadah

MUHAMMAD Kifli Ma Hassan (kanan) memeriksa lesen memandu seorang penunggang motosikal semasa Op Khas Hari Raya Aidiladha di Akademi JPJ Timur di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan dua pemandu bas selepas dikesan mengambil dadah jenis ganja dan methamphetamine masing-masing di Perlis dan Negeri Sembilan menerusi Op Khas Hari Raya Aidiladha 2024 yang bermula Khamis lalu.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kedua-dua pemandu berusia 42 tahun dan 61 tahun itu ditahan ketika berada di terminal bas ekspres masing-masing sebelum bertolak ke Kuala Lumpur.

Katanya, susulan itu JPJ memanggil syarikat pengendali bas berkenaan dan laporan siasatan lengkap akan dikemukakan kepada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan di bawah Akta 715.

“JPJ memandang serius dan tidak berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan mana-mana pemandu yang melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Setelah mendapat pengesahan lanjut diperoleh daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), kita (JPJ) akan menggantung lesen memandu pemandu berkenaan di bawah Seksyen 36 Akta 333,” katanya sempena Op Khas Hari Raya Aidiladha 2024 di Akademi JPJ Timur, di sini, kelmarin.

Muhammad Kifli memberitahu, menerusi Op Khas Hari Raya Aidiladha 2024 yang diadakan selama lima hari bermula 10 Jun lalu, sebanyak 47,003 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan oleh JPJ.

Katanya, daripada jumlah itu tiada Lesen Memandu (CDL) merupakan penyumbang tertinggi saman dikeluarkan iaitu sebanyak 12,188, diikuti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (9,711) dan kesalahan teknikal (8,109).

“Kita telah memeriksa sebanyak 209,037 pelbagai kenderaan dan daripada jumlah itu 24,537 kenderaan diambil tindakan manakala 1,767 kenderaan disita,” ujarnya.

Muhammad Kifli berkata, selain itu sebanyak 1,428 bagi kesalahan melanggar lampu isyarat merah, memotong garisan berkembar, tidak memakai topi keledar dan tali pinggang keledar telah direkodkan serta lain-lain kesalahan 6,276. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×