SHAH ALAM: Glide Technology Sdn. Bhd. (GTSB), pengeluar minyak pelincir milik penuh bumiputera menyasarkan peningkatan pengeluaran minyak pelincir sebanyak 40 peratus, iaitu tujuh juta liter berbanding lima juta liter pada 2023 menjelang akhir tahun ini.
Presiden dan Pengasas Glide Group, Datuk Muhazli Muhamad berkata, unjuran itu didorong oleh jangkaan peningkatan 30 peratus pasaran eksport di luar negara, terutama di Afrika dan pasaran baharunya, Republik Azerbaijan.
“GTSB mencuba meluaskan perniagaan dengan meningkatkan sasaran pasaran eksportnya, sekali gus memperkukuhkan jenama di peringkat global.
“Kami menyasar peningkatan 30 peratus bagi pasaran eksport dan baki 70 peratus pula akan difokuskan kepada komersial, terutamanya pasaran kerajaan.
“GTBS telah menembusi pasaran luar negara sejak ditubuhkan pada 2007 termasuk Jepun, Singapura, Brunei, Bangladesh, China, Turki, Portugal, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan Afrika.
“Kami juga dalam perancangan untuk memasuki pasaran di negara Asia Tengah tahun ini bagi meluaskan lagi jenama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini.
Beliau berkata, pihaknya terus diberi kepercayaan oleh pelanggan dalam dan luar negara kerana mengeluarkan minyak pelincir berteknologi serta berkualiti tinggi.
“Kami dalam proses mendapatkan pengiktirafan World Class Manufacturing (WCM) tahun ini untuk membuka peluang kepada GTSB meluaskan pasaran di negara Eropah selain meneroka pasaran luar negara,” tambahnya.
Dalam pada itu, katanya, GTSB sentiasa membuka peluang kepada pengedar yang berminat untuk membawa jenama itu ke seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.
“GTSB merupakan sebuah syarikat bumiputera yang menjalinkan kerjasama dengan syarikat minyak dan gas multinasional Malaysia, Petronas Lubricants International.
“Selain menjadi Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) bagi Petronas, kami juga bekerjasama dengan syarikat gergasi itu dengan menggunakan baseoil Petronas dalam untuk keluaran produk GTSB.
“Kami turut mengembangkan perniagaan ke sektor lain seperti marin, tenaga, dan minyak alat ubah (transformer oil),” katanya.-UTUSAN









