Hendak cakap pasal agama bukan boleh ikut suka - Nabil Ahmad

Hendak cakap pasal agama bukan boleh ikut suka

NABIL AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUDA-MUDA sudah bergelar haji, tetapi ‘gila-gilanya’ juga masih sama.

Barang kali ramai juga bersetuju dengan pandangan ini. Tentang bagaimana kita semua melihat Nabil Ahmad, bukan sekadar memegang statusnya sebagai seorang pengacara dan pelawak popular yang hanya bekerja menghiburkan orang di pentas acara.

Tempoh hari, dalam kesempatan duduk berbual dengan lelaki berusia 40 tahun ini, ternyata di sebalik seorang figura awam, Nabil mempunyai banyak isi cerita dalam kerendahan hatinya sebagai seorang manusia biasa.

Ya, memang benar dia mampu tersenyum bangga kerana di usia 31 dia sudah bergelar seorang haji. Tetapi, sebagaimana yang diakui Nabil sendiri, dalam senyuman puas, beratnya cabaran tetap harus dipikul seiring.

“Saya melihat gelaran haji di usia muda ini sebagai satu kelebihan. Memang betul, bila dapat di usia muda, kita rasa ‘eh muda lagi ni’, banyak yang hendak kena sekat daripada segi kelakuan dan sebagainya.

“Tetapi, di usia muda, Allah SWT sudah bantu kita elak daripada melakukan benda-benda lara. Bagi saya itu kelebihan. Kita yang duduk dalam industri seni hiburan ini lagilah kena seimbangkan.

“Saya sedar sampai satu tahap mungkin kena pilih apa program yang sesuai dan tidak. Apa limitasi? Sampai tahap mana saya boleh buat? Semua itu ada dalam fikiran saya,” katanya.

Mengaitkan penyertaannya sebagai seorang jemaah gerakan tabligh, Nabil juga mengakui ia banyak membantunya memahami erti dan menyusun atur hidup dengan akhir tujuan yang satu. Iaitu, kerana Allah.

“Saya sudah sertai jemaah tabligh, jadi secara tidak langsung belajar maksud hidup, agama hendak suruh kita buat apa? Saya boleh jadikan industri seni ini sebagai satu platform buat dakwah. Mungkin saya boleh sasarkan ke arah itu.

“Kalau masih berada dalam industri, mungkin satu tahap nanti saya akan buat untuk program Oasis, Al-Hijrah atau apa sahaja program keagamaan yang sesuai. Cuma, saya ini pun belum cukup ilmu dan kena tambah ilmu.

“Hendak cakap pasal agama ini, lagi pula orang macam saya, kita kena pastikan sesuatu perkongsian itu sahih dan betul. Tidak boleh ikut suka. Sedangkan ada ilmuan agama pun orang pertikai, inikan pula orang macam saya.

“Ia tidak mudah. Tetapi rezeki ternyata masih ada dalam bidang ini, saya cuba juga bataskan apa yang boleh mengikut kesesuaian,” katanya.

Membandingkan dirinya dengan kemunculan artis-atis baharu masa kini, kata Nabil, perbezaannya jauh sekali.

Secara peribadi, baginya, ramai kalangan pendatang muda sekarang lebih pandai menjaga diri dan berkelakuan baik.

“Dulu, masa zaman saya, kalau lara tu, lara sungguh! Nakal sungguh! Sekarang, saya tengok ramai berkelakuan baik. Mungkin juga kerana sekarang zaman media sosial, jadi mereka tidak mahu kena kecam, dihina atau dimalukan secara terus dan pilih untuk tak buat perkara tidak baik.

“Sekarang, saya pun sudah tak macam dulu. Lepas balik haji, sudah terbiasa orang panggil dengan gelaran itu, ia seakan satu peringatan buat diri ini setiap kalinya.

“Contohlah, kalau terjumpa artis atau pelakon muda, mereka akan terus panggil saya haji. Jadi, tak akanlah kita hendak buat perangai atau mengurat mereka pula. Situ saja sudah ada titik noktah.

“Maknanya Allah sudah beri peringatan, saya ini ada gelaran haji, ada isteri, ada anak-anak dan bukannya orang tidak kenal saya. Hendak buat perangai pun sendiri akan malu. Tiada masa dan tak ada duit hendak buat ‘hal’,” selorohnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×